Berita

Jemaah Menteri rakam penghargaan atlet negara di Olimpik Paris 2024

Foto: MOM
- Diterbit 15 Ogos 2024 4:24 PM MYT

JEMAAH Menteri merakamkan penghargaan terhadap atlet kebangsaan yang bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata atlet negara telah berusaha sedaya upaya untuk mengharumkan nama negara dengan membawa pulang dua pingat gangsa.

Menurut Fahmi, perdana menteri juga berharap agar usaha yang telah di perolehi atlet negara di Sukan Olimpik Paris akan menjadi pembakar semangat untuk meningkatkan lagi usaha pasukan di masa depan.

Penghargaan itu dibuat selepas mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Malaysia menamatkan kempen Olimpik Paris dengan dua gangsa masing-masing menerusi perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Anwar telah berhubung dengan Ketua Penasihat kerajaan sementara Bangladesh, Dr Muhammad Yunus semalam.

Beliau berkata dalam perbincangan dibuat semalam, Muhammad Yunus telah memberi jaminan akan menjamin keselamatan semua pihak termasuk kumpulan minoriti di Bangladesh.

“Perdana menteri telah berhubung dengan Muhammad Yunus dan dalam perbincangan melalui perbualan telefon itu, perdana menteri telah bangkitkan beberapa perkara termasuk keperluan untuk menjamin keselamatan bagi kumpulan-kumpulan minoriti di Bangladesh.

“Perdana menteri sementara Bangladesh telah beri jaminan, beliau dan kerajaan Bangladesh akan menjamin keselamatan semua termasuk kumpulan minoriti di Bangladesh,” katanya.

Minggu lalu, Muhammad Yunus, 84, yang juga pemenang Hadiah Nobel, mengangkat sumpah jawatan untuk mengetuai kerajaan peralihan terdiri daripada 17 anggota di Bangladesh.

Ia berlaku selepas protes berminggu-minggu yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Liga Awami pimpinan Perdana Menteri, Sheikh Hasina.

Majlis angkat sumpah Muhammad Yunus dan pasukannya berlangsung di pejabat Presiden Mohammed Shahabuddin di ibu negara Dhaka. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas