PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan membentangkan pencapaian hasil usaha Kerangka Ekonomi MADANI Ahad ini.
Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata pengumuman itu akan dibuat Anwar pada Program Madani Rakyat Zon Selatan di Dataran UTM, Skudai, Johor.
“Pada 17 Ogos ini beliau (Anwar) selain sampaikan ucaptama, beliau juga akan sampaikan rangkuman hasil usaha Kerangka Ekonomi MADANI berdasarkan laporan telah diberikan kementerian-kementerian pada Ahad ini.
“Saksikan kejayaan dan pencapaian kerajaan,” katanya pada sidang medianya hari ini.
Menteri Komunikasi itu berkata Program Madani Rakyat di Johor itu akan bermula hari ini hingga Ahad.
Kerangka Ekonomi MADANI dilancarkan pada 27 Julai 2023, iaitu kerangka ekonomi baharu Malaysia yang bertujuan mengangkat semula darjat dan martabat negara dengan menetapkan tujuh petunjuk prestasi utama sebagai sasaran jangka sederhana untuk dicapai dalam tempoh 10 tahun.
Program Madani ini akan memberi tumpuan kepada lapan program utama, antaranya Ekonomi Madani, kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pertanian dan keterjaminan makanan, karnival kerjaya serta pameran dan perkhidmatan berhubung pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Kecerdasan Buatan (AI).
Menerusi 34 reruai kementerian serta agensi kerajaan dan negeri, sebanyak 175 perkhidmatan langsung akan tersedia pada program berkenaan khusus untuk rakyat terutamanya di zon selatan yang meliputi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. – WILAYAHKU