Berita

Shah Firdaus layak ke separuh akhir Olimpik

SHAH FIRDAUS merupakan wakil tunggal Malaysia yang layak ke separuh akhir acara keirin lelaki pada Olimpik Paris 2024. Foto: ISKANDAR KAMARUZAMAN/BERNAMA
- Diterbit 11 Ogos 2024 6:07 PM MYT

PELUMBA trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berjaya mara ke separuh akhir acara keirin lelaki pada Olimpik Paris 2024 sekali gus membawa harapan negara menggenggam pingat emas sulung Malaysia.

Pelumba kelahiran Johor itu mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menamatkan perlumbaan pada kedudukan ketiga dalam aksi suku akhir, di Velodrom Saint Quentin en Yvelines.

Shah Firdaus berada di belakang pelumba Britain, Jack Carlin dan Australia, Matthew Glaetzer yang mana masing-masing menamatkan perlumbaan pada tempat pertama dan kedua. Turut layak ke suku akhir, pelumba Jepun, Ota Kaiya yang berada pada kedudukan keempat.

Pelumba berusia 28 tahun itu terpaksa beraksi di pusingan ‘repechages’ selepas disingkirkan pada pusingan pertama kerana berada di garisan biru dan diberi amaran kerana memaksa pelumba lain terkeluar trek dengan memasuki laluannya.

Kemaraan pemenang dua pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu mengubat kedukaan rakyat Malaysia susulan sandaran utama pingat emas Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang dibatalkan penyertaannya pada saringan pertama kerana kesalahan melintas derny (motosikal berkuasa elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas