Berita

“Minta dana sana sini untuk kucing kononnya, tetapi duit masuk poket sendiri… Harap kerajaan wujudkan lesen buka shelter home”– Kak Su Mayang

- Diterbit 11 Ogos 2024 12:29 PM MYT

MASA kini terdapat pelbagai jenis penipuan atau scammer yang dijalankan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan.

Begitu juga dengan kes penipuan yang semakin menjadi-jadi berhubung isu pusat jagaan kucing atau ‘shelter home’.

Ini kerana terdapat segelintir pihak yang berselindung di sebalik niat baik kononnya prihatin terhadap kucing terbiar.

KAK Su Mayang berharap pihak berwajib memantau isu scammer ‘shelter home’

Menurut Presiden Kelab Belas Kucing Selangor dan Kuala Lumpur, Azizah Ibrahim, 56, atau dikenali sebagai Kak Su Mayang, situasi ini amat membimbangkan kerana mereka mengambil kesempatan terhadap sikap prihatin masyarakat terhadap kucing terbiar.

“Rasa belas kasihan, sikap prihatin terhadap kucing terbiar sangat bagus. Ia juga dituntut dalam Islam supaya berkasih sayang sesama makhluk.

“Namun apa yang tidak wajar apabila terdapat pihak yang mewujudkan pusat jagaan kucing atau ‘shelter home’ ada niat lain atau ‘udang di sebalik batu’.

“Mereka wujudkan ‘shelter home’ bukanlah mahu menyelamatkan kucing sangat, tetapi mahu menyeleweng dana yang diberikan orang ramai. Minta dana sana sini untuk kucing kononnya, tetapi duit itu masuk poket sendiri,” katanya kepada Wilayahku.

Kak Su Mayang ditemui di Karnival Kucing Madani, di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Karnival ini berlangsung pada 10 Ogos dan berakhir hari ini.

Menurut Kak Su Mayang lagi, sesetengah mereka hanya menggunakan sebahagian kecil sahaja daripada sumbangan yang diberikan dan ia tidak cukup untuk makanan dan pengurusan kucing-kucing yang ditempatkan di ‘shelter home’ mereka.

“Sedih saya apabila memikirkan hal ini sumbangan orang ramai untuk kesejahteraan kucing.

“Kalau makanan tak cukup, kesihatan tak dijaga, tiada vaksin atau pemandulan, habis tu duit sumbangan mereka buat apa?

“Tolonglah, utamakanlah kegunaan untuk kucing. Itu amanah orang yang memberi sumbangan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Kak Su Mayang juga berharap pihak kerajaan atau berwajib  terus memantau dan wujudkan lesen kepada pihak yang membina ‘shelter home’.

“Cadangan saya, berharap sangat pihak kerajaan dapat mewajibkan lesen khas buat mereka yang membuka ‘shelter home’  agar tidak berlakunya penyelewengan duit.

“Bukan itu sahaja, saya memohon agar diwujudkan satu tim atau pasukan yang boleh memantau  ‘shelter home’  agar nasib kucing-kucing terbela,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas