Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
LEBIH kurang 40 tahun lalu ketika menyusur perut Kuala Lumpur untuk menghafal jalan dan lorong bagi mudah memilih laluan bas mini, sebuah kedai pen yang terletak di persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tuanku Abdul Rahman sangat menarik perhatian saya.
Kedai itu menjual berbagai-bagai jenama pen, bagaimanapun ketika itu tidak bercadang membelinya kerana belum menjadi keperluan, lagi pula harga yang paling murah pun sudah sangat besar bagi seorang yang baru bekerja di Kuala Lumpur.
Saya memang peminat pen dan selepas itu beberapa kali juga melewati kedai KSGills untuk menjamu mata sambil melihat pen dakwat cair (fountain pen) yang unik dan cantik semacam satu kepuasan. Akhirnya tanpa disangka-sangka beberapa tahun kemudian saya membeli sebatang pen di KSGills. Hingga kini sudah ada lebih 10 batang pen dakwat cair yang dibeli di kedai itu, termasuk yang terbaru pada Januari lalu.
Kedai pen kGSGills terletak di deretan bangunan berseni bina art deco itu didirikan sekitar tahun 1941 di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Kedai pen itu membawa saya mengenali jalan yang sekarang menjadi kawasan yang menjadi sangat sibuk terutama pada setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Menyusuri sejarah awal Kuala Lumpur, nama KSGills tercatat sebagai antara perniagaan terawal dan senama Jalan Tuanku Abdul Rahman. Kedai pen itu mulanya diusahakan oleh seorang anak muda Sikh dari Singapura yang datang bersiar-siar di Kuala Lumpur tahun 1941.
Ketika berada di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang ketika itu merupakan kawasan perniagaan yang sibuk, dia tertarik untuk mengusahakan kedai pen sekalipun kawasan di sekitar pekan Kuala Lumpur waktu itu adalah kampung, sawah dan lombong.
Tentulah suatu yang sangat ironi apabila membuka kedai pen di kawasan kampung dan sawah padi, tambahan pula dengan kadar celik huruf yang sangat rendah. Tetapi anak muda Sikh itu meneruskan cita-citanya, barang kali menyasarkan pen jualannya kepada kakitangan British di pejabat pentadbiran penjajah yang tidak jauh dari situ.
Di hujung sebelah selatan Jalan Tuanku Abdul Rahman yang sekarang ini ada Bangunan Sultan Abdul Samad, Perpustakaan Kuala Lumpur, Muzium Tekstil dan beberapa bangunan lain itu dulunya adalah pejabat pentadbiran British di Selangor.
Berada di Jalan Tuanku Abdul Rahman selalu mengingatkan saya pada kedai pen kGSGills yang kekal hingga kini dan menjadi satu-satunya kedai pen terlengkap di Kuala Lumpur. Bukan sahaja menjual pen dan dakwat tetapi juga pusat servis dan memberikan khidmat nasihat mengenai pen.
Jalan Tuanku Abdul Rahman sebenarnya adalah pusat perniagaan terawal di Kuala Lumpur. Di sepanjang kiri dan kanan jalan yang panjangnya lebih kurang tiga kilometer dari hujung sebelah utaranya Chow Kit hingga hujung selatan di persimpangan Jalan Tun Perak.
Sebahagian besar daripada bangunan lot kedai di sepanjang jalan itu menggunakan seni bina yang pelbagai dan membawa pengaruh barat seperti Utilitarian yang popular sekitar tahun 1900 hingga 1910, Neo Classic (1910 hingga 1930) dan Art Deco (1930 hingga 1940).
Bangunan-bangunan itu dimiliki oleh beberapa taikun Cina antaranya Loke Yew dan juga seorang orang kaya Melayu dari Terengganu, Haji Mohahamd Eusop yang memiliki bangunan lot kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan juga di Jalan Melayu.
Hingga kini terdapat beberapa bangunan ikonik yang terus kekal seperti Panggung Coliseum yang dibina tahun 1921 oleh taikun Chua Cheng Bok serentak dengan Coliseum Cafe di sebelah panggung itu. Coliseum adalah panggung wayang terawal di Kuala Lumpur dan pada 1930 pernah menjadi tempat pementasan bangsawan.
BATU ROAD
Tidak jauh dari situ terdapat panggung Odeon yang juga menjadi bangunan warisan di Kuala Lumpur. Selebihnya terdapat bangunan yang menempatkan Globe Silk Store dan P Lal Store yang memulakan perniagaan sekitar tahun 1940-an.
Di Jalan Melayu pula ada Masjid India yang dibina pada 1863 oleh masyarakat India Muslim yang menetap di sekitar Kuala Lumpur. Masjid India antara bangunan terawal dan meminjam pengaruh seni bina dari selatan India dengan reka bentuk tingkap dan pintu bermotif Islamik.
Daripada bangunan-bangunan yang didirikan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman terutama sebelum Perang Dunia Kedua memperlihatkan dominannya pengaruh seni bina Barat yang dibawa ke negara ini oleh penjajah British. Sebahagian besar daripada bangunan berkenaan telah diwartakan sebagai bangunan warisan yang tidak boleh diubah suai struktur luarannya.
Kini Jalan Tuanku Abdul Rahman sangat ikonik sebagai tempat yang dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat, terutama dalam kalangan orang Melayu. Malah Jalan Tuanku Abdul Rahman juga sejak lama dulu dikenali sebagai lubuk pakaian dan tekstil di Kuala Lumpur.
Maka tidak hairanlah kalau Jalan Tuanku Abdul Rahman menjadi sangat sibuk menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Semua barang persiapan hari raya yang berupa langsir dan pakaian boleh didapati di situ dengan syarat sanggup dan tahan bersesak dalam keadaan letih berpuasa.
Dulunya jalan itu dinamakan Batu Road, kemudian ditukarkan menjadi Jalan Tuanku Abdul Rahman mengambil sempena nama Yang di-Pertuan Agong yang pertama. Legasi Batu Road masih boleh dilihat dengan berdirinya Batu Road Supermarket berdekatan Chow Kit. Pada sekitar tahun 1980-an, itulah antara pusat beli-belah popular di Kuala Lumpur.
Kata sesetengah orang dari utara, selatan atau Pantai Timur, pergi ke Kuala Lumpur tidak lengkap kalau tidak menyusur Jalan Tuanku Abdul Rahman. Antara faktornya terdapat banyak kedai tekstil besar dan ternama yang menjadi sebutan kaum wanita.
Antara yang paling popular sejak lebih 50 tahun lalu adalah Globe Silk Store. Banyak juga yang datang ke Kuala Lumpur semata-mata hendak membeli-belah di gedung Globe Silk Store. Pada tahun 1980-an hanya Globe Silk Store yang menonjol, lainnya tidak sebesar gedung yang satu itu.
Kini Jalan Tuanku Abdul Rahman terus menjadi tumpuan terutama bagi peminat-peminat tekstil walaupun sudah banyak pusat beli-belah di pusat bandar Kuala Lumpur, terutamanya Sogo. Membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman memberikan pengalaman yang unik dan menarik.
Kepada saya, Jalan Tuanku Abdul Rahman selalu mengingatkan tentang pen dan disebabkan itu juga saya menulis sejarah ringkas termasuk sebuah kedai pen yang senama dengan jalan yang terkenal itu.