SIAPA sahaja yang tidak mengenali nama Datuk Dr Nazri Khan atau lebih dikenali sebagai DDNK. Malah slogan ‘Tak hensem takpa janji kaya” telah pun menjadi fenomena di negara ini.
Terbaharu beliau dinobatkan sebagai anak Malaysia pertama memenangi Kejuaraan Perdagangan Dunia untuk dua suku tahun berturut-turut sekali gus membuktikan dengan kesungguhan tiada yang mustahil untuk dikecapi.
Berkongsi lanjut dengan Wilayahku‚ Ketua Pegawai Pelaburan‚ Berjaya Mutual Berhad ini gigih dalam membantu mendidik orang ramai tentang kepentingan strategi pelaburan yang beretika.
DDNK sentiasa berusaha membantu rakyat Malaysia mencipta lebih banyak kekayaan untuk menyokong gaya hidup mereka.
“Salah satunya adalah melalui pelaburan melalui Berjaya Mutual. Ia menawarkan kepada rakyat Malaysia‚ sama ada pelabur atau segmen besar populasi yang kurang mendapat perhatian‚ potensi untuk memperoleh pulangan pelaburan yang lebih baik secara konsisten‚” ujarnya.
Dalam masa yang sama‚ beliau turut menasihati mereka yang ingin menceburi bidang trading agar mencari mentor yang bertauliah dan berlesen.
“Kalau kita pergi ke negara Brunei atau Singapura‚ tidak semua orang diberi peluang untuk mengajar‚ mereka perlu ada lesen berbeza di Malaysia‚ sesiapa sahaja boleh isytiharkan diri mereka mentor sedangkan tiada pengalaman. Itu yang kita risaukan.
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu‚ kita perlu mencari suatu cara untuk memperbaiki ekonomi kehidupan dan salah satunya adalah dengan trading.
“Gunakan ia sebagai senjata untuk lawan scam di luar sana yang semakin berleluasa. Bayangkan tahun lepas sahaja‚ 20‚000 rakyat di Malaysia menjadi mangsa penipuan dengan kerugian sekitar RM1 bilion.
“Selain itu‚ di Malaysia kita ada hampir 400‚000 orang di bawah umur 40 tahun yang bankrap antaranya disebabkan kad kredit‚ pinjaman peribadi dan sebagainya‚” ujar beliau.
Memberi pandangan tentang bagaimana Belanjawan 2025 akan memberi kesan kepada rakyat‚ DDNK berkata ia perlu menangani beberapa isu penting.
“Antaranya meningkatkan tahap pendapatan rakyat dan memperbaiki aliran tunai mereka untuk mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api‚ kos barangan dan perkhidmatan‚ meningkatkan kuasa beli individu dan keluarga‚ meningkatkan kualiti barangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh perniagaan.
“Sementara itu‚ untuk perniagaan dan korporat pula‚ Belanjawan perlulah memberikan insentif kepada perniagaan kecil dan koperasi untuk mengguna pakai proses teknologi dalam operasi mereka bagi mengurangkan kos.
“Selain itu‚ perlu memberikan lebih banyak alternatif pembiayaan untuk syarikat memperluaskan operasi perniagaan mereka‚” ujar beliau.
Berkongsi tentang kejayaan beliau memenangi Kejuaraan Perdagangan Dunia‚ DDNK berkata ia adalah bukti pengetahuan‚ kemahiran dan kepakaran beliau sebagai pengurus dana bebas serta kapasiti sebagai Ketua Pegawai Pelaburan Berjaya Mutual.
“Bagi saya sikap dan azam adalah penting untuk memastikan kejayaan sebagai juara perdagangan dunia. Walaupun Malaysia bukan pusat utama dalam pasaran saham dunia dan tidak mendapat perhatian seperti New York‚ London‚ Tokyo dan Hong Kong tetapi kita mampu menghasilkan pedagang yang hebat.
“Malaysia boleh menjadi pasaran saham terbaik di dunia dan menghasilkan lebih ramai pedagang hari dan bukan scalper. Kita perlu terus belajar‚ kerana pasaran adalah sangat dinamik‚” ujar beliau. – WILAYAHKU