Berita

DBKL ke arah pengurusan bandar lebih berdaya saing

- Diterbit 6 Ogos 2024 5:09 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menganjak ke arah pengurusan bandar yang lebih berdaya saing dan inovatif dalam memastikan pembangunan bandar raya Kuala Lumpur menjadi lebih lestari dan selaras dengan keperluan masa kini.

Justeru itu, DBKL telah menyediakan 10 Garis Panduan Perancangan Kuala Lumpur 2024 yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Zaliha berkata 10 garis panduan tersebut merangkumi Perancangan Residensi MADANI, Kemudahan Ruang Penjaja MADANI dan Pelaksanaan Perancangan dan Pembangunan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik.

“Selain itu, Panduan Semakan Bangunan Rendah Karbon Kuala Lumpur, Perancangan Pengemukaan Permohonan dan Pematuhan Kehendak Pemasangan Struktur Papan Iklan Luar, Permohonan Pelan Digital Maklumat Perancangan, Perancangan Bagi Keperluan Tempat Letak Kenderaan, Perancangan Kawalan, Ketinggian Kediaman Bertanah, Panduan Kediaman Berbentuk Dual Key dan Perancangan Strategi Komunikasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Panduan Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Menara DBKL 1, di sini, hari ini.

Tambah beliau kesemua 10 Garis Panduan itu adalah untuk memastikan amalan tata kelola yang baik diamalkan di DBKL.

“Dengan adanya panduan yang jelas dan telus seperti ini, setiap langkah perancangan dan pelaksanaan pembangunan akan dapat dipantau dengan lebih efektif, selain menilai tahap keberkesanan sesuatu polisi dan strategi yang dilaksanakan serta mempromosikan penambahbaikan yang berterusan.

“Tata kelola yang baik bermaksud kita mengamalkan prinsip-prinsip keterbukaan, akauntabiliti dan integriti dalam setiap keputusan yang dibuat. Perkara ini penting dalam memastikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap DBKL terus terpelihara.

“Sehubungan itu, saya dimaklumkan bahawa kesemua Garis Panduan ini akan dipaparkan secara public di laman web DBKL untuk rujukan semua pihak.

“Saya turut difahamkan, setiap Garis Panduan tersebut adalah hasil daripada kajian terperinci dan konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan. Dengan pendekatan yang inklusif seperti ini, saya berharap agar garis panduan ini akan memberi impak positif kepada setiap warga kota,” ujarnya.

Beliau turut mengharapkan dengan adanya Garis Panduan ini DBKL dapat dipandu dengan lebih telus dan teliti serta dapat memastikan kehidupan yang lebih baik untuk generasi kini dan akan datang.

“Saya menyeru semua pihak termasuk pihak agensi kerajaan, pemaju, pemegang-pemegang taruh dan orang awam untuk memberikan kerjasama yang erat dan komitmen yang baik dalam memastikan Garis Panduan ini dimanfaatkan sepenuhnya. InsyaAllah, bersama-sama kita boleh memastikan Kuala Lumpur terus berkembang sebagai sebuah bandar yang mampan dan berdaya huni,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas