Berita

KPKT berjaya naik taraf 882 tandas awam PBT bertaraf bersih, wangi

- Diterbit 2 Ogos 2024 3:02 PM MYT

KEMENTERIAN Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menaik taraf sebanyak 882 unit tandas awam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertaraf bersih, menawan dan wangi.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata sebanyak 88.2 peratus pencapaian daripada usaha naik taraf itu dengan jumlah peruntukan sebanyak RM150 juta.

Beliau berkata itu antara 12 inisiatif yang dicapai KPKT dengan 85 peratus daripada 10 inisiatif berkenaan berjaya direalisasikan.

Menurut Kor Ming lagi, sejumlah RM737.9 Juta daripada keseluruhan peruntukan Belanjawan 2024 dibelanjakan bagi mencapai 12 strategi berkenaan.

“10 inisiatif telah mencapai lebih 85 peratus daripada sasaran yang ditetapkan dalam tempoh 6 bulan sahaja,” katanya pada sidang medianya bagi mengumumkan pencapaian separuh tahun KPKT 2024.

Dalam sidang medianya, Kor Ming turut berkata sebanyak 182 Projek Penyelenggaraan Kolam Takungan Banjir diluluskan bagi tempoh Januari sehingga 21 Jun ini.

Beliau berkata untuk kawasan PBT, KPKT telah menyiapkan 12,336 unit penukaran lampu jalan jenis LED dengan peruntukan RM 50 juta.

Kor Ming berkata KPKT juga komited untuk menjadikan pasar awam sebagai pusat tarikan pelancong.

“Sejumlah 89 projek menaik taraf pasar awam uzur telah diluluskan bagi tempoh sama,” katanya.

Kor Ming juga berkata sebanyak 248 projek sakit dan 5 projek terbengkalai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sejumlah RM19.13 bilion berjaya dipulihkan KPKT.

Beliau berkata pencapaian ini merupakan usaha dan kerjasama KPKT menerusi Jabatan Perumahan Negara (JPN) dengan pihak berkepentingan untuk menangani masalah projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di seluruh negara. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas