Berita

Rugi RM2 juta, Jamal Abdillah bakal saman syarikat pelaburan

- Diterbit 1 Ogos 2024 7:28 PM MYT

PENYANYI, Datuk Jamal Abdillah, 65, bakal mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat pelaburan yang didakwa gagal membayar dividen dan memulangkan semula wang pelaburan kepadanya.

Sehubungan itu, Jamal memberitahu dia sudah pun melantik peguam untuk menuntut haknya.

“Sekarang ini saya sudah lantik peguam.  Peguam pun sudah membuat siasatan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan bukti telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“Sebenarnya kes itu saya tak boleh hurai banyak-banyak. Saya cuma boleh kata saya ada buat pelaburan, tapi sebelum itu saya sudah periksa dekat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara. Memang ada syarikat itu.

“Awalnya saya melabur RM1 juta dan mendapat pulangan sebanyak 12 peratus setahun. Selepas itu saya masuk lagi RM1 juta jadi RM2 juta.

“Tempoh matang lima tahun tetapi malangnya tahun ketiga itu dia (syarikat pelaburan) sudah tidak bagi dah. Pelbagai alasan diberikan termasuk  tidak dapat memberi pulangan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika penularan wabak COVID-19),” ujarnya kepada Wilayahku.

Jamal Abdillah ditemui pada Majlis Pelancaran Lagu Ketagih Cherry On Top di Hotel Ideas, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, pelantun lagu Azura itu memberitahu syarikat berkenaan bukanlah scammer.

“Untuk keselamatan, saya pasang peguam untuk saman mereka. Bukan saya sahaja terkena, ramai juga pihak lain terlibat.

“Ini bukan scam sebab syarikat itu memang wujud dan masih berjalan. Sekarang semuanya dalam proses, pihak sana juga berhubung melalui peguam saya. Zaman sekarang ini mahu buat apa-apa kena berhati-hati,” dakwanya.

Terdahulu, pada awal 2018, Jamal Abdillah diperkenalkan oleh seorang ejen kepada satu skim pelaburan dan dijanjikan pulangan 12 peratus setahun.

Antara 2018 sehingga 2020, Jamal membuat empat kali pelaburan dengan melaburkan sejumlah RM2 juta dalam syarikat berkenaan.

Namun, katanya, sehingga hari ini, syarikat pelaburan berkenaan gagal membuat pembayaran dividen bagi pendapatan tahunan secara menyeluruh dan secara langsung sudah melanggar perjanjian dan terma yang sudah dipersetujui.

Sebelum ini juga, Jamal menerima satu memo bertarikh 4 Januari 2023 yang dikeluarkan oleh syarikat pelaburan menyatakan sudah tiada keupayaan membayar pulangan sasaran tahunan pelaburan kerana keuntungan syarikat terjejas disebabkan penularan COVID-19.-WILAYAHKU

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas