Berita

E-invois mandatori untuk syarikat pendapatan lebih RM100 juta setahun mulai hari ini

LHDN logo is seen at its branch in Damansara Perdana AZHAR MAHFOF/The Star (This photo is for archive news desk and biz desk) (Inland Revenue Board)
- Diterbit 1 Ogos 2024 6:47 PM MYT

PELAKSANAAN e-Invois secara mandatori untuk syarikat yang merekodkan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta bermula hari ini, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

LHDN dalam kenyataan berkata langkah ini menandakan permulaan era baharu dalam usaha mendigital dan memperkasa sistem percukaian negara.

LHDN berkata mengikut rekod penerimaan e-Invois sehingga pukul 12 tengah hari ini, 520,000 penghantaran berjaya telah direkodkan dan sistem MyInvois kini tersedia untuk digunakan oleh pengguna.

“Bagaimanapun laporan media dan aduan yang diterima menunjukkan bahawa beberapa pengguna masih menghadapi kesukaran untuk mengakses sistem MyInvois.

“Untuk mengatasi masalah ini, LHDN menyarankan pengguna agar log masuk semula ke sistem MyInvois dan membersihkan cache pelayar secara berkala,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai pelaksanaan e-Invois boleh disalurkan melalui Meja Bantuan e-Invois HASiL di talian 03-8682 8000 (talian 24 jam), MyInvois Live Chat; E-mel [email protected] untuk pertanyaan umum e-Invois; dan borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas