PENTADBIRAN Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada Isnin meluluskan ujian darah baharu untuk mengesan kanser kolon, lapor Agensi Berita Xinhua.
Syarikat bioteknologi yang berpangkalan di California, Guardant Health memaklumkan bahawa ujian yang dinamakan ‘Shield’ diluluskan untuk saringan dalam kalangan dewasa berumur 45 tahun ke atas yang berisiko menghidap kanser kolorektum.
Syarikat itu merancang untuk melancarkan produk ini dalam masa terdekat.
Pakar juga menegaskan bahawa ujian baharu ini bukan pengganti kolonoskopi, tetapi menyediakan pendekatan saringan yang bukan invasif.
“Kolonoskopi masih dianggap sebagai piawaian emas untuk saringan, terutamanya bagi pertumbuhan prakanser,” menurut pakar kesihatan.
Persatuan Kanser Amerika menganggarkan lebih 150,000 orang di negara ini akan didiagnosis dengan kanser kolorektum pada 2024. – BERNAMA-XINHUA