SEJUMLAH 142,510 pelepasan bankrap dicatatkan melalui inisiatif Dasar Peluang Kedua yang dilaksanakan kerajaan, melebihi sasaran awal 130,000 kes, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata dasar ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Prinsip Rukun Ihsan untuk membawa pelaksanaan undang-undang kepada rakyat yang memerlukan.
“Kadang-kadang muflis ini disebabkan keadaan ekonomi, sepertimana berlaku COVID-19 dengan tahap ekonomi yang menjejaskan keadaan ekonomi mereka.. ada juga kesilapan mereka terutamanya para peniaga, tetapi tanggungjawab kita adalah untuk merangsang ekonomi dan juga memberi peluang kepada mereka.
“Ini adalah langkah awal kita untuk menjadikan Malaysia negara yang mampu berdaya saing dan maju,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Sambutan 100 tahun Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) dan Hala tuju Baharu di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dasar Peluang Kedua diumumkan Anwar semasa pembentangan bajet tahun 2024, khusus bagi mereka yang diisytihar bankrap, untuk diberikan peluang mereka kembali menyumbang kepada ekonomi negara dan menjalani kehidupan yang baharu.
Sementara itu Anwar berkata individu ataupun syarikat yang telah diberikan peluang kedua haruslah membuat proses susulan.
“Pertama jangan ulang kesilapan lepas, kedua fahami peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan melalui rangkaian jabatan dan kementerian yang pelbagai seperti TEKUN, MARA atau PUNB,” katanya sambil menambah bahawa belum pernah ada mana-mana kerajaan yang menyelesaikan 142,510 kes bankrap sejak merdeka.
Anwar berkata kerajaan juga menyediakan suntikan Rahmah, iaitu dana yang disediakan kepada lebih sembilan juta orang terutama daripada golongan B40 dan M40, yang berjumlah RM10 bilion. – BERNAMA