Fokus

Minta nasihat pakar

Gambar hiasan
- Diterbit 26 Julai 2024 11:20 AM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

IBU bapa sukar menyedari jika anak mereka mempunyai masalah ketinggian kerana ukuran tersebut berbeza-beza dalam sesebuah populasi namun ilmu berkaitan banyak membantu menyedarkan mereka.

Bergelar seorang ibu, Nurmaezah Omar, 43, berkata dia akan memastikan anak-anaknya mendapat diet yang sihat dan seimbang agar tumbesaran mereka sama seperti kanak-kanak lain.

“Nutrisi yang cukup juga adalah penting bagi membantu tumbesaran dan sistem imunisasi memandangkan mereka sering terdedah dengan dunia luar serta berisiko untuk sakit.

“Kanak-kanak mempunyai graf tumbesaran sendiri namun nasihatkan bawa anak berjumpa doktor sekiranya ada simptom awal berkaitan masalah bantut. Ia mungkin dapat dicegah dengan nasihat daripada pakar,” katanya.

Tambahnya meskipun dia sibuk dengan kerjaya namun sentiasa cakna berkenaan masalah bantut yang semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak sejak kebelakangan ini.

“Ia amat merisaukan kerana bukan sahaja melibatkan tumbesaran anak-anak daripada aspek fizikal semata-mata, malah turut memberi kesan kepada kesihatan mental dan IQ anak-anak.

“Antara tips pemakanan sihat yang saya amalkan banyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan; makan makanan sunnah seperti kismis, madu serta kurma selain vitamin c dan kalsium. Paling penting kurangkan makanan proses seperti sosej dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, Hadi Ehsan, 47, berkata tumbesaran anaknya disahkan bantut pada usia seawal tiga bulan dan ia mungkin disebabkan kurangnya malnutrisi di dalam badan.

“Dari umur tiga hingga enam bulan tumbesarannya kekal di zon kuning dan pihak hospital maklumkan kepada kami bahawa puteri sulung kami akan dikategorikan sebagai bantut.

“Sepanjang tempoh masa tersebut anak kami memang tolak untuk makan apa pun jenis makanan sama ada nestum, biskut dan sebagainya. Mujurlah pakar pemakanan menjelaskan situasi kami masih baik kerana anak kami masih menyusu.

“Sehinggalah umur dia satu tahun, suatu hari buat pertama kali, anak saya ambil sendiri roti untuk makan. Sejak itu, kami belajar daripada pengalaman untuk mendedahkan adiknya dengan semua jenis makanan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas