Fokus

Bantut: Tumpu 1,000 hari pertama kehidupan

Gambar hiasan
- Diterbit 26 Julai 2024 11:00 AM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

BANTUT atau masalah tumbesaran tubuh badan dalam kanak-kanak merupakan satu kondisi yang boleh kekal seumur hidup jika ibu bapa tidak mengambil langkah intervensi yang bersesuaian.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, anggaran penduduk bantut bawah usia lima tahun adalah 498,327 orang atau 21.2 peratus (%) bersamaan satu dalam lima kanak-kanak mengalami masalah ketinggian.

NHMS 2022 juga melaporkan bahawa 6.8% daripada remaja mengalami masalah bantut dan ia meningkat dari tahun 2015 iaitu sebanyak 17.7%.

Memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jika masalah bantut tidak dikesan dan dibetulkan dalam tempoh 1,000 hari pertama kehidupan (sejak dalam kandungan sehingga usia dua tahun), impaknya kekal seumur hidup.

Pakar Pediatrik, Dr Anayasmin Azmi berkata faktor terbesar yang mempengaruhi pertumbuhan seorang kanak-kanak sebelum usianya lima tahun adalah nutrisi.

“Golongan ini sepatutnya men-capai 60% ketinggian dewasa mereka pada usia lima tahun. Namun begitu kini kita dapat melihat ramai kanak-kanak yang tidak mencapai ketinggian optimal ini.

“Mungkin ramai tidak merasakan bantut ini satu masalah kerana tidak menyedari bahawa ia membawa kesan jangka panjang antaranya mudah jatuh sakit disebabkan daya tahan badan yang tidak kuat akibat kekurangan nutrisi seterusnya menyebabkan kualiti hidup dan pembelajaran terjejas.

“Ini juga boleh mengganggu kesihatan mental anak-anak contohnya kurang keyakinan diri. Apabila dewasa, kanak-kanak bantut lebih cenderung menghidapi penyakit kronik seperti penyakit jantung serta berkaitan paru-paru sekali gus membuatkan kualiti hidup sebagai dewasa juga menurun.

“Pelbagai kajian turut menunjukkan kanak-kanak bantut mempunyai fungsi kognitif lemah dan mengalami kelewatan perkembangan (developmental delay).

“Mereka juga mengalami masalah pembelajaran terutama sekali dalam matematik, membaca dan pembangunan kosa kata reseptif,” ujarnya.

Beliau yang juga Pensyarah Perubatan di Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Sg Buloh berkata terdapat beberapa faktor yang harus dibincangkan tentang isu bantut.

“Pertamanya adalah faktor genetik seperti genetik keluarga, genetik sindrom tertentu dan juga genetik mutasi tertentu, namun kajian menunjukkan ia mempengaruhi sekitar 10% sahaja ketinggian akhir dewasa tetapi 90% lagi aspek persekitaran.

“Ini kerana selain genetik, pertumbuhan awal kanak-kanak dipengaruhi sejak dalam kandungan. Oleh itu, faktor nutrisi ibu mengandung dan nutrisi dari pemakanan awal usia bayi sangat memberi kesan kerana sekitar 27% tenaga dari nutrisi bayi usia 0 hingga 4 bulan digunakan untuk tumbesaran. Jadi sekiranya nutrisi tidak cukup, tenaga digunakan untuk survival maka menjejaskan tumbesaran.

“Bukan hanya kuantiti malah kualiti makanan yang dihidangkan perlu diambil berat kerana tidak sama kualitinya sekiranya kanak-kanak makan tiga kali sehari tetapi hanya makan nasi kosong dan sup.

“Untuk pertumbuhan yang sihat, satu pinggan makan perlu mengandungi karbohidrat, protein, sayuran, buahan juga minyak dan lemak. Nutrisi tidak hanya bermaksud susu yang mahal harganya tetapi makanan segar yang mengandungi nutrisi yang disebutkan boleh disediakan,” ujarnya.

Tambahnya, selain nutrisi, hormon seperti hormon tumbesaran dan insulin growth factor-1 (IGF-1) juga mempengaruhi dan ia juga berkait dengan nutrisi.

“Faktor tidur juga memainkan peranan kerana tidak cukup tidur juga boleh mempengaruhi penghasilan hormon tumbesaran. Kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun memerlukan 11 sehingga 14 jam tidur (termasuk tidur siang), tiga hingga lima tahun (10 hingga 13 jam) dan bagi enam hingga 12 tahun (sembilan sehingga 12 jam).

“Senaman luar rumah juga membantu meningkatkan kualiti kesihatan dan pertumbuhan kanak-kanak. Malang sekali, kanak-kanak kini lebih kerap terperap di rumah dan tidur lewat kerana banyak menghabis masa dengan gajet. Ia adalah satu rutin yang tidak sihat dan boleh memberi banyak kesan buruk buat fizikal dan mental anak-anak,” katanya.

PANTAU TUMBESARAN

BANYAK kajian membuktikan sikap tidak endah ibu bapa menyebabkan isu bantut semakin meruncing hingga trend hari ini menunjukkan ramai kanak-kanak tergolong dalam kumpulan menghadapi masalah ketinggian.

Anayasmin berkata kebantutan mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar pada peringkat awal. Oleh itu, pemeriksaan berkala di klinik-klinik kesihatan amat diperlukan.

“Di Malaysia, kita ada sistem imunisasi kanak-kanak sejak lahir dan pemantauan kesihatan sehingga kira-kira usia empat tahun di mana setiap kelahiran dibekalkan buku rekod bayi yang terdapat graf pemantauan pertumbuhan kanak-kanak iaitu ketinggian, berat, lilit kepala dan indeks jisim badan (BMI).

“Amat penting untuk ibu bapa serta petugas kesihatan memanfaatkan graf ini setiap kali temu janji imunisasi dan kesihatan di klinik kesihatan untuk mengenal pasti kanak-kanak yang berisiko bantut. Sebarang pertumbuhan yang membimbangkan perlu dikenal pasti sebab serta cara mengatasinya dan sekiranya perlu dirujuk ke hospital untuk langkah seterusnya‚” ujar beliau. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas