BIASA lalu Jalan Sultan Ismail di ibu kota? Ramai rakan kawan-kawan Kedai Kopi melaluinya setiap hari baik untuk pergi balik pejabat atau melakukan pelbagai urusan lain memandangkan jalan tersebut adalah antara jalan utama di Kuala Lumpur dan sering sesak.
Untuk itu‚ atas komitmen mengatasi kesesakan jalan raya di ibu negara, mulai 22 Julai lalu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan perubahan lalu lintas melibatkan Jalan Sultan Ismail. Langkah ini diambil setelah menjalankan kajian operasi jalan selama hampir tiga bulan.
Dengan perubahan itu‚ jalan tersebut akan dikembalikan kepada jalan sehala dari persimpangan Jalan Raja Chulan ke persimpangan Jalan Bukit Bintang. Perubahan ini diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan dan Keselamatan Jalan Raya (JKMKKJR).
Sebelum ini‚ melalui satu ujian percubaan‚ Jalan Sultan Ismail yang asalnya jalan sehala dijadikan jalan dua hala mulai 1 Mei lalu. Tujuannya untuk melihat sejauh mana keberkesanan perubahan tersebut dalam mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.
Kawan-kawan Kedai Kopi percaya keputusan mengembalikan semula jalan berkenaan kepada satu hala setelah menilai dengan teliti hasil percubaan yang dilakukan. Mungkin hasil kajian mendapati jalan berkenaan lebih sesuai dikekalkan sebagai jalan satu hala.
Pihak JKMKKJR sentiasa komited dalam usaha menangani kesesakan jalan seluruh negara khususnya Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk dan sinonim dengan masalah kesesakan‚ terutama pada waktu puncak.