KOREK mengorek, menutup jalan pengalaman biasa bagi warga kota. Boleh dikatakan aktiviti ini berlaku setiap hari di banyak tempat di ibu negara. Akibatnya berlaku kesesakan jalan raya dalam keadaan jalan yang memang sudah sesak.
Bagi kawan-kawan Kedai Kopi, orang ramai boleh memahami keperluan melakukan kerja ini, antaranya bertujuan memperbaiki atau menaik taraf jalan, meningkatkan perkhidmatan utiliti seperti bekalan air, memasang kabel elektrik atau telekomunikasi.
Cuma yang diharapkan kerja-kerja ini dilakukan di luar waktu puncak, misalnya dari malam hingga awal pagi sebelum orang ramai keluar bekerja atau pelajar ke sekolah. Dengan itu akan membantu mengurangkan kesesakan.
Bagi melaksanakan kerja-kerja ini perlu mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pihak DBKL akan menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh kontraktor bagi memastikan kelicinan kerja yang dijalankan dan pada masa sama tidak menganggu pergerakan orang awam.
Namun terdapat kontraktor yang dikesan tidak mematuhi peraturan, melakukan pelbagai kesalahan dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP). Ini berdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh DBKL baru-baru ini di beberapa jalan utama di ibu negara, termasuk Jalan Sungai Besi, Jalan Kuchai Lama, Jalan Syed Putra, Jalan Cheras, Jalan Raja Abdullah dan Jalan Genting Klang.
Antara kesalahan dilakukan ialah melakukan kerja mengorek, pembaikan dan sebagainya melebihi waktu yang ditetapkan, tidak meletakkan papan tanda isyarat lalu lintas serta menutup jalan tanpa kebenaran.
Selain itu turut melonggokkan sisa di atas jalan tanpa memikirkan aspek keselamatan jauh sekali menjaga kebersihan. Sehubungan itu DBKL telah mengeluarkan notis kesalahan terhadap kontraktor terlibat. Pamantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa di semua kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan.
Kawan-kawan Kedai Kopi puji sikap DBKL yang sentiasa mengutamakan kepentingan awam. Justeru sangat wajar DBKL bertindak terhadap kontaktor yang melanggar peraturan sebagai pengajaran.