Labuan

Ah Ming ‘Hero’ Labuan

- Diterbit 26 Julai 2024 11:40 AM MYT

BERPELUANG menerokai keindahan Labuan merupakan momen indah yang pastinya membuatkan sesiapa sahaja menyimpan impian untuk kembali lagi.

Ternyata pulau bebas cukai ini punya tarikan tersendiri yang menghimpunkan lokasi bersejarah, tersembunyi (unsung places) dan memukau (hidden gems).

Sambil berjalan meneroka Bandar Victoria ini, anda pasti melintasi mural gergasi yang memaparkan seorang peniaga air cincau, Teo Soon Bin @ Teo Soon Ming atau lebih dikenali sebagai Uncle Ah Ming, 67.

Keenakan air cincau bersama kacang dan jagung yang diwarisi bapanya sejak empat dekad lalu menjadikannya terkenal dalam kalangan penduduk di pulau tersebut.

Di sebalik air cincau yang menjadi ‘igauan’ ramai terselit kisah kegigihannya mencari nafkah lebih 20 tahun dengan berniaga di Jalan Muhibbah.

Gerai kecilnya menjadi saksi ketabahannya membesarkan lima orang anak sehingga berjaya menjadi insan yang hebat.

Kini tiga orang cahaya matanya iaitu Teo Lo Chie, 42, Teo Lei Teng, 36 dan Teo Lei Kun, 31, merupakan pendidik manakala dua lagi, Teo Lee Peng, 44, dan Teo Lei Hong, 34, bergelar akauntan dan pegawai di sebuah syarikat swasta.

Baginya gerai tersebut cukup bermakna kerana daripada situlah dia berupaya membuktikan kejayaannya memberi didikan sempurna kepada anak-anaknya.

“Di sini sejak lebih 20 tahun lalu, saya dan isteri, Lee Siew Eng berniaga mencari rezeki. Kami bersama-sama membuat cincau. Mungkin campuran kacang dan jagung itu serasi dan membuatkannya sedap dan disukai ramai,” ujarnya.

Berkongsi kisah lampau, Ah Ming berkata dia mengambil alih perniagaan tersebut daripada mendiang bapanya ketika berusia 17 tahun.

“Awalnya saya tidak yakin kerana masih muda namun diteruskan juga sehingga kini namun saya tidak menyangka menjadi seorang yang dikenali ramai,” ujarnya.

Pada 2019, dia mendapat pengiktirafan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di atas kegigihannya menyara keluarga dengan berniaga air cincau.

Rentetan itu, potretnya diabadikan pada dinding bangunan di kawasan bandar sekali gus diangkat sebagai ‘hero’ ikonik di pulau tersebut.

“Masa itu saya terkejut apabila pihak MOTAC memaklumkan bahawa mereka mahu memotret wajah saya dengan melukis mural di sini.

“Namun saya amat terharu dan berterima kasih kepada masyarakat di sini yang sentiasa menyokong saya sejak dari mula berniaga sehinggalah sekarang,” ujarnya kepada Wilayahku.

MERENDAH DIRI

RATA-RATA pengunjung yang ditemui menyifatkan Ah Ming seorang yang suka merendah diri dan mudah didekati oleh sesiapa sahaja.

Menurut pelanggan yang dikenali sebagai Muhammad Hanif Bakar, 33, Ah Ming sentiasa ramah melayani pelanggan tanpa mengira latar belakang.

“Dia sangat dikenali kerana sikap
mesranya dan telah membuktikan sikap perpaduan itu dapat menyatu-kan semua biarpun berbeza bangsa dan agama.

“Diharapkan perniagaan ini akan diteruskan oleh keluarganya dan tidak terhenti begitu sahaja memandangkan dia sudah tua.

“Setiap hujung minggu saya akan membawa keluarga dan rakan singgah untuk menikmati air cincau. Di sini juga tempat mengimbau nostalgia ketika di bangku sekolah dulu kerana rasa air cincau ini tidak pernah berubah,” ujarnya.

Sementara itu, Nurul Syafikah Azman, 23, berkata ibu dan bapanya sering membawanya menikmati air cincau di gerai Ah Ming sejak usianya tujuh tahun.

“Masa itu saya dan adik-beradik selalu datang ke sini setiap hujung minggu. Jadi, setiap kali teringin saya akan datang ke gerai ini. Saya suka air cincau jagung.

“Sebelum ini, saya pernah juga mencuba air cincau yang dijual oleh peniaga lain namun ia tidak setanding dengan air tangan Ah Ming.

“Kami di Labuan ini ada istilah yang kami pegang iaitu bukan orang Labuan jika tidak mengenali Ah Ming kerana beliau  adalah ikon Labuan,” ujarnya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas