Berita

Konsert Rockestra Kuala Lumpur 2024 sokong sektor ekomoni

ARTIS legenda menghiburkan penonton pada Konsert Rockestra Kuala Lumpur 2024
- Diterbit 26 Julai 2024 10:20 AM MYT

PENGANJURAN sesebuah konsert sama ada berskala kecil atau besar, ia sebenarnya memberikan impak yang menyeluruh buat sektor ekonomi negara.

Terbaharu, penganjuran Konsert Rockestra Kuala Lumpur 2024 di Panggung Anniversari Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur pada 21 Julai lalu tidak lain tidak bukan, untuk manfaat rakyat.

Menurut Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Naquib Hamdan, penganjuran Konsert DBKL bukan sahaja untuk hiburan tetapi disusuli dengan objektif penting dalam menyahut seruan kerajaan untuk menyokong sektor ekonomi dan pelancongan.

“Penganjuran konsert sebegini sebenarnya boleh membantu bisnes-bisnes tempatan seperti jualan air, makanan, belon dan pelbagai lagi.

“Acara yang melibatkan artis ini banyak membantu untuk menghidupkan lagi ekonomi tempatan dan sektor pelancongan. Ini yang kami titikberatkan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut konsert yang menampilkan penyanyi legenda hebat antaranya Ameng Spring, Muss, Bagio Damasutra, Ezad Lazim dan Tom Gegar Vaganza, Naquib berkata konsert tersebut memberi kepuasan kepada penonton.

“Semua yang datang terbuai dengan lagu-lagu yang malar hijau yang sering menjadi siulan.  Lagu-lagu mereka timeless. Itulah kelebihan artis legenda ini, sampai bila-bila pun lagu mereka kekal dalam ingatan masyarakat,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Unit Muzik DBKL, Isabella Pek berkata konsert yang dijayakan pasukan orkestra DBKL serta artis tempatan tersebut berjaya menarik lebih 2,000 penonton.

“Penganjuran konsert-konsert DBKL selama ini turut membantu dalam industri pelancongan. Setiap kali kerajaan keluarkan dana untuk menganjurkan konsert, medan selera, jualan peniaga sekitar Kuala Lumpur ‘hidup’ serta secara tidak langsung membantu sektor e-hailing.

“Mungkin ada yang tak nampak, tapi itulah antara hasrat kerajaan dalam membantu rakyat untuk menjana pendapatan mereka
sekali gus turut menyumbang kepada ekonomi negara,” ujar Isabella. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas