Berita

DBKL kompaun, sita penjaja tanpa lesen, warga asing di Bandar Tun Razak

- Diterbit 25 Julai 2024 11:08 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan kompaun dan sitaan terhadap penjaja tanpa lesen serta warga asing di sekitar Jalan Budiman 26/17A, Jalan Tasik Utama 4 dan 5 serta Jalan Tasik Permaisuri 3, Bandar Tun Razak.

Operasi tersebut disertai oleh pasukan DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Bandar Tun Razak.

DBKL berkata melalui rondaan dan pemantauan yang dijalankan, pelbagai kesalahan telah dikenal pasti.

“Antaranya bertindak sebagai penjaja tanpa lesen, meletakkan kerusi, meja serta peralatan di laluan awam dan meletakkan kenderaan di atas siar kaki (halangan).

“Tindakan kompaun dan sitaan dilaksanakan menerusi peruntukan di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, UUK 3(1) Undang Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

DBKL menegaskan tindakan dan pemantauan berterusan akan dijalankan menerusi siri-siri tindakan khas di 11 parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas