SYARIKAT Bandar Malaysia Sdn Bhd, pemaju Bandar Malaysia di Sungai Besi sedang menjalankan kajian lanjut berkaitan strategi pembangunan 50 ekar tanah yang diperuntukan sebagai Tanah Rizab Melayu (TRM)
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah tersebut bagi memastikan pembangunannya selari dengan aspirasi Kerajaan untuk menjadikan Bandar Malaysia sebagai Hab Perniagaan Antarabangsa.
“Antara prinsip penting yang akan diambilkira dalam perezaban kawasan seluas 50 ekar tersebut adalah penempatan berkelompok di sekitar kemudahan penting yang relevan seperti masjid selain pembangunan itu tersebar dan bersepadu selaras dengan konsep keterangkuman Malaysia Madani.
“Selain itu antara prinsip pembangunan itu adalah ia berpotensi untuk dibangunkan sebagai tempat tarikan pelancong yang mempamerkan budaya masyarakat Melayu dan pemerkasaan ekonomi orang Melayu dengan menyediakan peluang pemilikan hartanah di dalam kawasan bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang memohon kerajaan menyatakan secara terperinci rancangan pembangunan tanah ‘airport’ Sungai Besi 50 ekar yang telah dijadikan Tanah Rezab Melayu.
Amir Hamzah berkata syarikat tersebut turut menyambut baik saranan Kerajaan supaya diperuntukkan 50 ekar tanah pembangunan projek Bandar Malaysia sebagai tanah Rezab Melayu.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kongres Ekonomi Bumiputera telah mengumumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan 50 ekar pembangunan Bandar Malaysia diperuntukkan sebagai Tanah Rizab Melayu bagi meningkatkan pegangan dan ekuiti bangsa Melayu dalam ekonomi Malaysia. – WILAYAHKU