SERAMAI 4,564 waris menerima manfaat daripada Skim Prihatin Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) di bawah khairat kematian berupa sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000 sehingga RM2,500 sejak tahun 2010 sehingga kini.
Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Mohamad Raimi Ab Rahim, skim tersebut direka khusus untuk membantu meringankan beban keluarga yang kehilangan orang tersayang.
“Ia juga sebagai sokongan moral dan emosional kepada keluarga yang ditimpa musibah selain memastikan kesejahteraan dan kebajikan masyarakat Wilayah Persekutuan sentiasa terjaga melalui bantuan yang diberikan.
“Objektif Skim Khairat Prihatin adalah memberi bantuan kewangan segera kepada keluarga bagi menguruskan kos pengebumian dan perbelanjaan berkaitan. Apabila terdapat ahli yang meninggal, waris perlulah membuat tuntutan dalam tempoh masa 14 hari dari tarikh kematian dan cukup syarat.
“Kita akan menilai terlebih dahulu sebelum meluluskan dan waris perlu memenuhi semua kriteria bagi memudahkan urusan permohonan skim ini,” jelasnya yang juga merupakan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri.
Tambahnya sepanjang tahun 2024, YWP menerima 23 kes dan sebanyak 20 permohonan telah diluluskan manakala tiga lagi ditolak kerana pemohon tidak memperbaharui keahlian seperti ditetapkan.
“Mereka yang layak menerima skim tersebut adalah ahli skim sedia ada dan telah berdaftar, memperbaharui keahlian pada setiap tahun, pengundi di Wilayah Persekutuan dan nama waris yang telah didaftarkan sahaja boleh menuntut skim ini manakala sumbangan diberikan dalam bentuk cek kepada waris,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohamad Raimi berharap program tersebut terus mengukuhkan nilai-nilai kemanusiaan dalam masyarakat dan memastikan tiada yang terpinggir dalam situasi kecemasan.
Untuk rekod, Skim Prihatin YWP merupakan antara inisiatif bantuan kewangan dan mempunyai seramai 55,761 ahli berdaftar. – WILAYAHKU