MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa turun padang ke Pasar Borong Kuala Lumpur bagi melihat sendiri pengoperasian aktiviti perniagaan.
Dalam hantaran di laman Facebook, beliau turut mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pusat Analisis dan Sekuriti Makanan (FoSAC) di bawah penyeliaan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Taklimat tersebut adalah mengenai peranan dan fungsi FoSAC serta perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan dalam mengurus isu keselamatan dan sekuriti makanan melalui analisis saintifik sampel makanan, bahan mentah dan air.
“Saya turut mendengar sendiri keluhan dan aduan daripada pemilik serta peniaga mengenai isu-isu yang sering dibangkitkan berkaitan warga asing, kemudahan infrastruktur dan juga penggunaan tenaga kerja luar di pasar borong tersebut,” katanya.
Dalam lawatan yang bermula pukul 2 pagi itu, beliau turut berkesempatan meninjau kawasan luar sekitar pasar borong untuk ‘assess’ sendiri keadaan semasa berkait aduan yang dilaporkan.
“Sehubungan itu, saya akan meneliti beberapa jalan penyelesaian yang bersesuaian dalam memastikan isu-isu terkait yang dibangkitkan ini selesai segera, Insya-Allah akan diperincikan semuanya satu persatu,” katanya
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan), Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlee Yatim dan Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Ismadi Sakirin.- WILAYAHKU