SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik pengumuman kerajaan yang akan meneliti pindaan undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) dalam menangani usaha buli siber.
Dalam satu kenyataan, MCMC berkata pengumuman tersebut merupakan isyarat pentinng bahawa Kerajaan komited dan serius dalam menangani masalah buli siber yang berlaku sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.
“MCMC sedia mempertimbangkan keperluan untuk menggubal atau mewujudkan akta baharu dalam menangani isu buli siber dan akan bekerja sama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneliti prosedur operasi standard (SOP) untuk memudahkan proses membuat aduan bulisiber,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MCMC berkata langkah itu juga akan membolehkan pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan dengan lebih efektif selain membawa mereka yang terlibat ke mahkamah sekali gus memberi pembelaan sewajarnya kepada mereka yang terkesan.
” Sinergi bersama PDRM juga akan dikukuhkan bagi memastikan inisiatif ini berkesan dan memberi impak kepada rakyat,” katanya.
MCMC dan Kementerian Komunikasi juga merancang untuk menganjurkan siri jelajah ke seluruh negara untuk menyebarkan mesej dan modul cegah buli siber di segenap lapisan rakyat.
Semalam, jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta MCMC dan PDRM mengambil tindakan tegas terhadap kes membabitkan buli siber selain turut menzahirkan rasa kecewa dalam kes buli siber yang membawa kepada kematian seorang pempengaruh TikTok baru-baru ini.- WILAYAHKU