SELAMA ini rakyat menikmati harga minyak yang rendah disebabkan oleh subsidi namun kerajaan perlu menampung kos yang besar melebihi kemampuan hasil.
Perbelanjaan subsidi yang semakin besar juga boleh mencetus risiko kepada kewangan negara sekali gus menyebabkan peruntukan perbelanjaan lebih penting terpaksa dikurangkan.
Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan pada hari ini membawa fokus utama untuk menangani ketirisan dan penyelewengan subsidi diesel.
Pelbagai maklum balas diterima ekoran penyasaran tersebut sehingga ada yang mendakwa dalam bulan ini juga, kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pula.
Ramai yang mendakwa kerajaan sengaja mahu membebankan rakyat kerana tidak tahu menguruskan ekonomi akhirnya meletakkan bebanan tersebut ke atas rakyat.
Menyentuh berkenaan isu hangat tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata belum ada kertas dasar dibawa ke Kabinet bagi tujuan rasionalisasi subsidi dilaksanakan ke atas petrol RON95.
Malah menurut beliau jangkaannya penyasaran semula subsidi bagi tujuan itu tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Belum ada kertas dasar yang boleh membawa kita untuk melaksanakannya (rasionalisasi subsidi RON95) dengan cepat. Ada kajian dari dulu, tetapi kita fikir lebih baik lihat dulu langkah (penyasaran) ke atas elektrik dan diesel.
“Lihat dulu kesannya dan bagaimana reaksi rakyat. Barulah (selepas itu) kita sedia berunding apakah (ada) keperluannya,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Anwar menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95.
Terdahulu, isu berkenaan tercetus apabila Menteri Ekonomi tiba-tiba mengulas isu subsidi petrol semasa persidangan sebuah forum di Dalian, China.
Apapun yang dilaksanakan oleh kerajaan sudah pastinya langkah bertanggungjawab dalam menyelamatkan ekonomi negara di samping mengekalkan fokus untuk memastikan kos sara hidup rakyat tidak terjejas.