UMAT Islam diseru untuk menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah Rasulullah SAW sebagai sumber ilmu pengetahuan sebelum membuat keputusan berhubung dengan pengumpulan dana.
Penasihat Syariah Sharlife Sdn Bhd, Arham Merican berkata prinsip utama dalam pengumpulan dana awam adalah pengurusan yang adil, berhemah dan berhati-hati berikutan ia dikawal dengan hukum syariah yang ketat.
“Pertamanya dana awam dalam Islam ada beberapa jenis antaranya dana sedekah, dana zakat, dana wakaf, dana anak yatim, dana kerajaan dan sebagainya selain ia termasuk dalam konteks hari ini di mana pengumpulan dan pengurusan dana awam ini dilakukan secara atas talian.
“Orang tengah dalam transaksi kewangan dibincangkan dalam undang-undang Islam di atas kontrak wakalah iaitu broker atau ejen.
“Dalam undang-undang Islam, broker dan ejen ini tertakluk kepada beberapa ketetapan syariah antaranya perlulah jelas apa tanggungjawab ejen yang dilantik itu dan sekiranya ada upah, kadar upah itu perlu dimaklum dan diberi izin oleh pemberi tugas atau penyumbang,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.
Menjelas lanjut Arham berkata dalam konteks masa kini, ia termasuk dalam situasi individu mewakilkan satu platform untuk menguruskan dana sedekah yang dikumpul daripada orang ramai.
“Platform itu harus jelas menyatakan kepada pemberi dana apa skop tanggungjawabnya, siapa yang terlibat dengan proses pengurusannya termasuk pempengaruh dan yang paling penting berapa kadar upah yang akan diambil atas pelaksanaan skop tanggungjawab tadi,” katanya.
Menurut Arham dalam perbincangan syariah, upah atau disebut sebagai ujrah ini perlulah disepakati antara pemberi upah (penderma) dan platform kebajikan yang berperanan mengumpul dana dan mengagihkan dana kepada projek kebajikan.
“Platform tadi perlu jelas nyatakan berapa kadar upah termasuk upah kepada pempengaruh kerana pemberi upah (penderma) perlu maklum dan bersetuju.
“Kadar upah biasanya digunakan untuk kos-kos pengurusan dan kos-kos ini jika bukan kos sebenar, ia perlulah tertakluk kepada kos pasaran, dibandingkan dengan kos pengurusan platform atau badan bukan kerajaan (NGO) lain yang membuat projek kebajikan yang lebih kurang sama. Tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi,” katanya.
Beliau berkata mana-mana pihak yang menggunakan khidmat individu berpengaruh untuk mengutip dana awam adalah dibenarkan di dalam Islam kerana ia dapat membantu mempromosi kutipan dana dan projek kebajikan yang tentunya sangat memerlukan.
“Namun dalam isu ini, kadar upah itu perlu dinyatakan secara jelas kepada pihak penderma. Jika penderma setuju, maka tiada masalah. Termasuk kadar upah itu perlu munasabah dan mengikut kadar biasa pasaran.
“Dengan kemasyuran mereka lebih ramai masyarakat ingin menyumbang kepada projek kebajikan yang bagus dan ini akan akhirnya membantu mereka yang memerlukan. Namun isunya pada ketelusan dan kejelasan aspek-aspek kaedah pengurusan dana awam tersebut
“Selain itu, ketetapan kontrak wakalah (broker/ejen), kadar upah yang jelas, keizinan pihak-pihak dalam kontrak, keredaan dalam kontrak semuanya telah jelas dan termaktub dalam undang-undang Islam, namun ramai dalam kalangan masyarakat tidak tahu apatah lagi melaksanakannya. Jika semua dipatuhi, tentunya isu kurangnya ketelusan dapat diatasi,” katanya.
Menurut Arham, banyak risiko penipuan selain kebaikan apabila pengumpulan dana dibuat secara atas talian.
“Risikonya adalah sesiapa sahaja tidak kira latar belakang dan niat mereka mampu membuat platform kutipan namun kebaikannya adalah akses kepada platform ini juga boleh pergi sejauh mungkin di mana lebih ramai dapat menyumbang kepada projek kebajikan yang bagus tidak kira di mana saja mereka berada.
“Cabarannya adalah bagaimana kita dapat memastikan platform itu satu platform yang diuruskan dengan mengikut undang-undang Islam dan penuh integriti. Ini tentutnya memerlukan desakan dan audit berterusan daripada masyarakat awam supaya platform-platform seperti ini melaksanakan apa yang sepatutnya.
“Jika dirasakan adanya sebarang kecurangan, eloklah terus dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, Arham berkata setakat ini ada beberapa Majlis Agama Negeri contohnya Perlis yang telah menyatakan hasrat untuk mengeluarkan panduan Islam untuk isu pengumpulan dana awam ini.
“Selain itu, antara panduan yang telah wujud dan meletakkan syarat-syarat kepada ejen seperti kadar upah yang jelas dengan kontrak wakalah adalah Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ini walaupun khusus tentang ejen korban tetapi boleh juga dijadikan panduan kepada ejen-ejen projek kebajikan lain,” katanya. – WILAYAHKU