Selebriti

Meerqeen kawal stres

- Diterbit 9 Julai 2024 5:05 PM MYT

BAGI pelakon yang popular menerusi drama Melur Untuk Firdaus, Meerqeen, stres merupakan antara penyebab serangan jantung.

“Kita perlu berusaha untuk mengurangkan stres kerana ia boleh membataskan kehidupan seharian sekali gus memberi kesan tidak baik kepada kesihatan jantung.

“Bila sebut tentang stres, rasanya ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana dalam kehidupan, kita ada tanggungjawab dan komitmen yang perlu diselesaikan.

“Tidak kiralah komitmen hari-hari atau mengikut jangka masa, yang pastinya kita tak boleh elak daripada stres. Kadang-kadang ada sahaja masalah atau ujian hidup yang pastinya mengganggu fikiran seterusnya mempengaruhi tingkah laku kita.

“Apabila stres, ia sebenarnya membataskan kita untuk hidup secara sihat. Disebabkan itu, kita perlu mengawal stres itu dengan mendekatkan diri dengan Allah dan perbaiki hubungan kita dengan-Nya.

“Tidak ada manusia yang sempurna pun dalam dunia ini, apa yang boleh kita lakukan, selalulah muhasabah diri kerana ia sangat membantu mengawal tekanan.

“Dalam masa yang sama, luangkan masa bersama keluarga atau lakukan perkara yang kita minat selain pastikan mendapat rehat dan tidur yang berkualiti.

“Sibuk macam mana pun kita, waktu tidur perlu dijaga kerana mengikut kajian, mereka yang tidak cukup tidur amat berisiko untuk mengalami pelbagai penyakit antaranya sakit jantung, obesiti dan depresi,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas