Berita

Potensi Labuan sebagai Gerbang Emas ASEAN Timur

KEDUDUKAN Labuan di Borneo berpotensi untuk dimajukan sekali gus mampu meningkatkan pendapatan negara
- Diterbit 9 Julai 2024 4:22 PM MYT

PERTUMBUHAN ekonomi Labuan mampu dipacu semula serta menjadi penyumbang pendapatan negara yang lebih baik jika dasar dan polisi sedia ada diubah demi memanfaatkan kelebihan pulau itu.

Menurut Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal seandainya kelebihan yang ada dimanfaatkan dengan sebaiknya, Labuan tidak memerlukan suntikan dana kerana hasil daripada pulau itu lebih daripada mencukupi.

Katanya, berdasarkan kepada faktor lokasi strategik dan perancangan nasional Labuan, ia seharusnya menjadi rujukan kepada pentadbir kerana Labuan memiliki pelbagai kelebihan untuk berkembang termasuk statusnya sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC).

“Labuan mampu menyumbangkan ekonomi yang lebih baik kepada negara melalui perubahan polisi yang tertentu. Dengan mengambil kira kelebihan serta kekuatan yang dimiliki oleh Labuan yang mana ia tidak dimiliki oleh negeri-negeri lain,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Beliau turut menekankan keperluan untuk menyelaraskan proses kelulusan termasuk menubuhkan pusat sehenti untuk pelabur sekali gus dapat mengurangkan kerenah birokrasi dan kelewatan membuat keputusan yang menjadikan pulau itu lebih mesra perniagaan.

“Pihak yang berkuasa membuat keputusan juga harus ditempatkan di Labuan untuk mengelakkan kelewatan disebabkan oleh pembuat keputusan terletak di Putrajaya. Bagi saya sudah sampai masanya untuk menyerahkan pengurusan kepada pentadbir pulau ini untuk membuat sebarang keputusan.

“Jika ia dapat dilaksanakan, saya yakin pembangunan ekonomi Labuan akan berkembang dengan lebih drastik kerana hanya petadbir yang ada di sini sahaja yang lebih tahu dan mendalami mengenai faktor-faktor yang dihadapi oleh Labuan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Geoffrey berkata Labuan memiliki potensi sebagai Gerbang Emas ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) tidak hanya menyediakan perkhidmatan kepada 90,000 penduduk Labuan malahan kepada 113.9 juta penduduk Filipina, 273.8 juta (Indonesia) dan lebih 400,000 (Brunei).

“Apa yang berlaku ketika ini, lebihan yang dimilik oleh Labuan khususnya dalam BIMP-EAGA itu tidak digunakan sebaiknya.

“Berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa Labuan mempunyai nilai eksport sejumlah RM19.0 bilion dan RM3.4 bilion bagi import. Aktiviti perdagangan import dan eksport di pulau ini lebih besar berbanding dengan negeri lain iaitu Perlis dan Kelantan.

“Walau bagaimanapun kelebihan dan potensi yang ada di pulau ini tidak dilihat oleh pihak tertentu, saya berpandangan bahawa sudah sampai masanya semua pihak agar melihat kelebihan yang dimiliki Labuan sebagai sebuah pulau yang berpotensi dan bukanlah sebagai saingan,” katanya.

Menurut beliau lagi, potensi Labuan harus diterokai bagi merealisasikan dengan memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan dan menyelaraskan proses untuk meningkatkan ekonominya.

Dengan adanya pendekatan yang berkesan untuk merealisasikan matlamat tersebut dengan menarik pelaburan asing, menghasilkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan yang bukan sahaja akan merangsang pertumbuhan ekonomi tetapi juga mewujudkan tenaga kerja yang lebih mahir.

Beliau menegaskan, Labuan harus melakukan beberapa tindakan penting termasuk berubah kepada zon komersial atau perdagangan bebas untuk menarik pelabur dan syarikat asing untuk melakukan perniagaan di pulau ini.

“Sepertimana yang saya sebutkan apa yang penting adalah mengubah semula dasar polisi

yang lama kepada polisi yang baharu untuk memudahkan lagi urusan perdagangan sekali gus menarik pelabur antarabangsa,” katanya. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas