MENYAMBUT baik seruan kerajaan dalam menjadikan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama lepasan sekolah menengah, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) tampil dengan Program TVET YWP.
Menurut Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj, pihaknya baru sahaja menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pihak Akademi Binaan Malaysia yang merupakan anak syarikat kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) baru-baru ini.
“YWP memperuntukkan sebanyak RM600,000 bagi membantu belia-belia asnaf untuk kursus kemahiran jangka pendek secara percuma dalam bidang yang mempunyai permintaan tinggi seperti penerbangan, kecerdasan buatan (AI), kimpalan, tower crane operator dan pekerja binaan.
“Program TVET YWP adalah inisiatif yang menyediakan latihan teknikal dan vokasional kepada individu yang berminat untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang tertentu seperti teknologi maklumat, automotif, kejuruteraan, hospitaliti serta minyak dan gas. Kursus-kursus ini diuruskan secara strategik oleh rakan kerjasama YWP yang merupakan pakar dan tauliah dalam industri tersebut untuk mengeluarkan sijil-sijil profesional.
“Matlamatnya adalah untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri semasa,” katanya dalam Program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM.
Abdul Rahman berkata perbezaan antara Program TVET YWP dan di kolej vokasional lain adalah tempoh pengajian yang pendek iaitu selama tiga hingga empat bulan sahaja.
“Di bawah Program TVET YWP, pelajar akan dibimbing dan kita menyediakan laluan terus untuk bekerja sejajar dengan kursus yang diambil. Saya boleh katakan kira-kira 90 hingga 95 peratus pelajar dijamin akan mendapat tempat dalam dunia pekerjaan.
“Antara syarat kelayakan lain adalah pemohon mestilah merupakan warga Wilayah Persekutuan berumur 18 tahun ke atas dan berminat dalam bidang teknikal dan vokasional. Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang layak,” ujarnya. – WILAYAHKU