PRESIDEN Kesatuan Ulama Sedunia, Prof. Dr. Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula 5 Julai hingga 12 Julai 2024 atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata,sebagai pemimpin utama Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Ali Al-Qaradaghi berperanan besar dalam mengarusperdana pemikiran kesederhaan dalam Islam terutama dalam aspek Maqasid Syariah dan Islam dan Kenegaraan.
“Beliau juga merupakan tokoh terkemuka dalam bidang Ekonomi Islam, Perbankan Islam, Maqasid Shariah dan Pemikiran Islam.
“Keilmuan beliau diiktiraf sebagai rujukan utama pelbagai institusi kewangan dan perbankan Islam dalam lapangan antarabangsa termasuk juga institusi kewangan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Na’im berkata sepanjang lawatan rasmi Sheikh Ali Al-Qaradaghi, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menyusun program-program melibatkan beliau antaranya Global Madani Forum Anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur
“Selain itu, turut dianjurkan Konvensyen Akidah Ahli Sunah Wal Jamaah Peringkat Wilayah Persekutuan anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Dewan Syarahan Masjid Negara, sesi pertemuan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Sesi khas bersama Asatizah dan Ilmuan Islam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM),” katanya.
Jelas Mohd Na’im, pihaknya mat yakin bahawa lawatan rasmi ini akan membawa manfaat kepada keharmonian serta perpaduan masyarakat dan negara dan mengharap segala perancangan yang disusun ini akan berjalan dengan berjaya.
Tambah Mohd Na’im, kehadiran Sheikh Ali Qaradaghi ke Malaysia akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah yang mengadaptasi pendekatan Maqasid Syariah dalam pentadbiran dan pemerintahan. – WILAYAHKU