KAJIAN Perwujudan Perundangan berkaitan Lemon Law bersama kumpulan perunding pakar dijanga selesai pada bulan September ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata hasil kajian tersebut akan dijadikan asas pertimbangan untuk membuat keputusan dasar sama ada perlu membuat penambahbaikan terhadap kerangka perundangan sedia ada atau memerlukan kepada penggubalan perundangan baharu.
Tambah Armizan, peruntukan perundangan bercirikan ‘Lemon Law’ berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal atau pengilang sekiranya barangan yang dibekalkan gagal mematuhi gerenti yang ditetapkan telah termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] di bawah kawal selia KPDN.
“Dapatan awal Kementerian juga menunjukkan bahawa terdapat ciriciri peruntukan mengenai Lemon Law di bawah beberapa akta dan peraturan merentasi kementerian dan agensi di Malaysia.
“Akta lain yang dikenal pasti pada peringkat awal adalah seperti Akta Kontrak 1950 [Akta 136], Akta Jualan Barangan 1957 [ Akta 382] dan Akta Sewa Beli 1967 [Akta 212].
“Susulan daripada pelbagai aduan dan kes terkait serta pdangan pelbagai pihak, pelbagai usaha sedang dilaksanakan kerajaan bagi memberikan perlindungan yang komprehensif, termasuklah menjalankan Kajian Pewujudan Perundangan berkaitan Lemon Law bersama kumpulan perunding pakar yang bermula Jun lalu dan dijangka berakhir September ini,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol), Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut), dan Cha Kee Chin (DAP-Rasah) yang bertanya tentang perkara yang berkaitan dengan Lemon Law bagi melindungi hak pengguna dalam hal pembelian kenderaan.
Menurut Armizan, KPDN akan terus melaksanakan sesi
libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan dalam usaha tersebut.
“Ini termasuklah penganjuran Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 yang telah diadakan pada 4 Jun lalu bertujuan mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh berkenaan cadangan pengukuhan perundangan berkaitan Lemon Law di Malaysia.
“Bersandarkan kepada simposium tersebut, didapati semua pihak termasuklah industri memberi respon positif untuk memperkukuhkan perlindungan hak kepenggunaan melalui Lemon Law sekaligus membantu perkembangan industri automotif negara,” ujarnya. – WILAYAHKU.