SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, trend percutian glamping yang merupakan kombinasi idea percutian glamour dan camping menjadi pilihan popular untuk melarikan diri daripada hiruk-pikuk kesibukan kota.
Maka, seperti cendawan tumbuh selepas hujan, pelbagai lokasi menawarkan trend percutian yang sama dalam memenuhi kehendak pelanggan yang tinggi ketika itu antaranya Glow Glamping @ Wetland Putrajaya.
Namun, ternyata trend percutian sebegitu tidak kekal lama memandangkan ia sentiasa berubah-ubah dengan kadar lebih pantas lebih-lebih lagi dipengaruhi oleh zaman media sosial.
Berdasarkan kajian trend glamping bertahan sehingga tahun 2026 namun di penghujung tahun 2023 sudahpun terdapat trend baharu yang mendapat permintaan tinggi.
Turut berdepan situasi tersebut, pemilik Glow Glamping @ Wetland Putrajaya, Mohd Nor Arif Mohd Azmi berkata ia merupakan antara cabaran utama penggiat industri pelancongan sepertinya.
“Minat orang ramai sentiasa berubah dengan cepat. Kalau dulu seawal trend glamping ini popular kuasa pembeli berada di tangan Generasi Y seperti golongan ibu bapa yang sukakan alam semula jadi, tumbuh-tumbuhan serta flora dan fauna.
“Akan tetapi sekarang ini kuasa pembeli itu sudah jatuh ke Generasi Z di mana minat mereka adalah berbeza. Disebabkan itu, permintaan untuk perkhemahan gaya glamor ini sudah kurang kerana mereka telah beralih kepada trend lain sekali gus ia mendapat permintaan tinggi oleh golongan muda yang merupakan pembeli utama pada masa kini,” ujarnya.
Kongsi beliau yang juga merupakan pemilik Gopeng Glamping Park, cabaran lain juga wujud bergantung kepada faktor lokasi.
“Contohnya di Perak, tapak khemah berdekatan dengan sungai yang menjadi tarikan untuk aktiviti berkayak dan waterfall abseiling selain pengunjung boleh melakukan aktiviti luaran lain seperti meneroka Gua Tempurung yang berdekatan serta popular.
“Namun di Putrajaya permintaan untuk melakukan aktiviti lasak khususnya sangat sedikit kerana kebanyakan pelanggan yang datang memang hanya mahu berehat dan tidak mahu pergi terlalu jauh untuk menenangkan fikiran. Ia ibarat short escape buat mereka. Apa saya boleh cakap adalah glamping dalam bandar adalah okey tapi ia tidak serancak di Gopeng,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau yang sudah berpengalaman selama lapan tahun dalam industri pelancongan berkata, kos penyelenggaraan yang tinggi juga merupakan antara cabaran yang perlu ditempuhi.
“Di Putrajaya, kita menggunakan khemah yang memerlukan ia ditukar setiap tiga bulan bagi memberi keselesaan serta menjaga kebersihan.
“Selain itu, faktor cuaca yang tidak menentu juga memainkan peranan, tambahan pula lokasi kita berhampiran dengan stesen janakuasa di mana sekiranya berlaku kilat ia agak berisiko buat pelanggan kami,” katanya.
Sehubungan itu, Arif berkata pihaknya akan melakukan beberapa transformasi untuk terus kekal relevan dalam industri ini.
“Kalau kita lihat sekarang anak muda minat dengan percutian yang berkonsepkan tiny house kerana ia lebih privasi serta selesa terutama kepada pelanggan wanita.
“Untuk itu, kita akan lakukan pengubahsuaian dalam tahun ini juga di Glamping Putrajaya untuk memenuhi permintaan percutian berkonsepkan tiny house pula.
“Sementara itu, untuk memastikan Glamping Putrajaya terus relevan, fasiliti di sekitar ini akan dilengkapkan kerana apa yang dapat dilihat, segmen untuk keluarga sudah menurun tetapi kita menerima permintaan yang tinggi daripada syarikat untuk program team building,” jelas beliau. – WILAYAHKU