Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
KETAGIHAN pornografi tidak hanya melibatkan golongan dewasa tetapi remaja juga turut terjerumus ke dalam perbuatan tidak bermoral. Penggunaan Internet dan media sosial yang tiada sempadan merupakan antara penyumbang utama kepada perkara ini.
Jika tidak dibendung mulai sekarang maka tidak mustahil ia akan bertukar menjadi barah seterusnya merebak dalam diam sehingga mampu memakan diri.
Menurut Pakar Kesihatan Lelaki, Dr Ahmad Samhan Awang, ketagihan menonton pornografi mampu menyebabkan kerosakan saraf otak selain meruntuhkan institusi kekeluargaan sehingga mengakibatkan perceraian serta kehilangan nilai moral individu.
“Ia membawa kesan buruk kepada kesihatan manusia antaranya kerosakan saraf otak jangka panjang dan menjejaskan ingatan seseorang.
“Ketagihan bahan lucah mengakibatkan bahagian tengah depan otak yang dikenali sebagai Ventral Tegmental Area (VTA) secara fizikalnya akan mengecil. Pornografi menimbulkan perubahan kepada bahan kimia neurotransmitter dan melemahkan fungsi kawalan badan. Ini membuat mereka yang ketagih tidak dapat mengawal perilaku,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata perbuatan menonton video atau sebarang kandungan berbentuk lucah berpotensi membawa kepada masalah mati pucuk atau ejakulasi pramatang.
“Jika mengalami masalah ketagihan pornografi, mereka bakal mengalami kecederaan frontal lobe iaitu bahagian depan otak seterusnya mengalami masalah self-control atau kesukaran mengawal diri dan menjejaskan penghantaran maklumat ke otak.
“Jadi perkara inilah yang membawa kepada masalah mati pucuk dan ejakulasi pramatang. Kerosakan otak akibat ketagih pornografi adalah yang paling teruk iaitu lebih teruk daripada ketagihan kokain (dadah),” ujarnya.
Menurut beliau, apabila seseorang itu sudah mencapai kepada tahap ketagih dalam menonton kandungan tidak bermoral itu, masalah rangsangan akan berlaku.
“Antara tanda ketagihan adalah cepat marah atau terganggu sekiranya diminta untuk berhenti melayari pornografi dan memiliki dua karakter kerana melayari secara bersembunyi.
“Malah pengaruh menonton video seksual ini kian membimbangkan apabila dikategorikan mengikut selera pengikutnya. Aktiviti tidak bermoral tersebut banyak memberi kesan kepada hidup individu dan masyarakat.
“Gejala sosial seperti rogol, liwat dan cabul semakin meningkat yang kebanyakannya berpunca daripada ketagihan pornografi. Ia menjadi lebih bahaya apabila mudah diakses dan dilanggan tanpa halangan serta tapisan dengan menggunakan kecanggihan teknologi.
“Lebih membimbangkan, setiap minggu beribu-ribu laman web lucah diketengahkan hingga melahirkan penggemarnya yang tersendiri, malah golongan profesional turut menguasai dunia seksual imaginasi itu,” ujar beliau.
Samhan berkata sekiranya tabiat tersebut dibiarkan berlarutan, ia boleh menjadi punca pertengkaran serta mengganggu kelancaran hubungan intim pasangan suami dan isteri.
“Nafsu suami yang ketagihan akan terjejas jika kerap melakukan onani. Dunia pornografi adalah buatan dan tidak boleh memuaskan keinginan dan jika dibiarkan menjadi lebih tidak terkawal dan terdedah kepada maksiat.
“Ramai tidak setuju jika dikaitkan dengan ketagihan namun tabiat itu sebenarnya semakin ketara hari ini kerana teknologi yang lebih canggih. Mereka sering menidakkan masalah yang dihadapi, namun pada masa sama tidak mampu menghentikan ketagihan,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata ketagihan selalunya berkembang secara perlahan dan melalui beberapa tahap sehingga lebih teruk dengan tindakan impulsif, peningkatan mencari pornografi, hilang rasa malu dan akhirnya perubahan sikap secara mendadak.
“Ia turut meruntuhkan keharmonian institusi kekeluargaan kerana akan menyebabkan kekosongan perasaan, rendah diri dan kesepian mendalam antara pasangan berkahwin.
“Pasangan akan berasa rendah diri, teraniaya, malu dan kesal dengan sikap suami atau isteri yang kemaruk pornografi sedangkan aktiviti seksual dengan pasangan dingin,” ujarnya.
BENDUNG TOKSIK
MENGHENTIKAN ketagihan jangka panjang boleh dilakukan secara perlahan, namun memerlukan komitmen dan keinginan tinggi selain perlu menjalani terapi.
“Buat tujuan untuk satu tempoh waktu berdasarkan keinginan, baik untuk benar-benar berhenti menonton filem lucah atau mengurangkan kadar masa melayari laman itu.
“Jauhkan media yang berkait rapat dengan pornografi. Mereka juga boleh mengubah lingkungan persekitaran dan alihkan perhatian ke hobi lain untuk mengisi waktu kekosongan,” ujar beliau.
Tambahnya, tanpa disedari kegemaran abnormal ini membawa pelbagai kesan negatif kepada masyarakat seperti terdedah kepada ancaman keselamatan yang berpunca daripada jenayah seksual seperti rogol, cabul, pedofilia, parafilia dan sebagainya sehingga ke tahap membunuh mangsa.
“Di samping itu, aktiviti salah laku ini juga membawa kepada kehamilan luar nikah serta penularan penyakit kelamin seperti human immunodeficiency virus (HIV), acquired immunodeficiency syndrome (AIDS) dan sebagainya.
“Kesimpulannya, ketagihan kepada bahan berbentuk lucah dalam kalangan masyarakat banyak berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan corak hidup serta teknologi. Justeru, kempen kesedaran bagi memerangi aktiviti ini perlu dilaksanakan serta disahut oleh semua pihak dan disusuli dengan tindakan yang sewajarnya,” tegas beliau. – WILAYAHKU