Berita

Perkukuh sistem pendidikan tahfiz

- Diterbit 6 Mei 2024 10:00 AM MYT

JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyambut baik cadangan yang dikemukan oleh pihak Presiden Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) menubuhkan Maktab Penguruan Tahfiz sebagai kaedah untuk memperkukuh sistem pendidikan tahfiz di negara ini.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melaksanakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam Negeri termasuk persatuan tahfiz untuk memperkukuh sistem pendidikan institusi tersebut.

“Pada masa sama untuk memperkasa kemahiran pengurusan, pembelajaran dan pengajaran dalam kalangan guru tahfiz dan pengurusan tahfiz, JAKIM dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institut Aminuddin Baki telah melaksanakan program-program latihan kepada pihak yang berkaitan.

“Selain itu, JAKIM telah mewujudkan sistem pengiktirafan kepada institusi tahfiz dengan mewujudkan Jawatankuasa Akreditasi Tahfiz di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK),” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga telah melaksanakan sesi libat urus bagi menilai cadangan penubuhan Universiti Al-Quran Malaysia dengan pihak-pihak yang berkepentingan demi memperkukuh agenda memperkasa pendidikan tahfiz.

Beliau juga yakin kesemua inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan itu akan dapat memperkukuh usaha-usaha pembangunan Al-Quran secara menyeluruh seterusnya mengisi makna pembinaan Malaysia MADANI. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas