Berita

‘Orang kata kedai asyik tutup ja’… Restoran berdepan gangguan sihir, Shiha Zikir jumpa ustaz

- Diterbit 13 Jun 2024 7:51 PM MYT

ARTIS serba boleh, Shiha Zikir mendedahkan restoran nasi ayamnya, Shiha Zikir Nasi Ayam yang beroperasi di Kampung Baru, Kuala Lumpur, pernah berdepan dengan gangguan ilmu hitam atau sihir.

Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir, 36, berkata, dia juga selalu menerima panggilan dari beberapa kenalan yang mendakwa kedainya tidak beroperasi ketika mereka datang untuk makan di situ.

“Saya selalu dapat ‘call’ (panggilan) dari beberapa kenalan yang bertanya kedai nasi ayam saya dibuka pada hari apa dan kenapa kedai nasi ayam saya tutup sudah tiga hari? Orang kata kedai asyik tutup ja.

“Saya terus bertanya kepada pekerja restoran betul ke kedai nasi ayam tutup dan mereka beritahu restoran buka macam biasa.

“Saya pun terdiam bila kenalan beritahu mereka sudah berhenti depan kedai tapi ia tutup,” katanya kepada Wilayahku.

SHIHA Zikir ketika majlis pelancaran cawangan kedua restoran nasi ayamnya, Shiha Zikir Nasi Ayam di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Shiha ditemui pada majlis pelancaran cawangan kedua restoran nasi ayamnya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, pada Rabu.

Dalam pada itu, penyanyi  lagu AEWO dan Pipiyama ini mengakui awalnya  sukar untuk mempercayai perkara berkaitan mistik sedemikian.

“Pada mulanya, saya tak percaya perkara seperti itu tetapi sudah beberapa kenalan yang beritahu perkara yang sama.

“Saya juga ada ahli keluarga yang buka kedai makan juga dan beritahu gangguan seperti itu.

“Apapun, saya hanya berdoa banyak-banyak semoga Allah SWT permudahkan semuanya.

“Saya juga ada berjumpa dengan ustaz minta doa yang boleh diamalkan untuk melindungi dari gangguan sedemikian,” katanya.

WALAUPUN berdepan dengan dugaan sihir, Shiha sentiasa yakin kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Sementara itu, menyentuh tentang restoran Shiha Zikir Nasi Ayam cawangan kedua di Seksyen 7 Shah Alam, Shiha bersyukur impiannya menjadi kenyataan.

“Sebenarnya ramai yang nak saya buka Shiha Zikir Nasi Ayam di tempat mereka. Saya bersyukur kerana nasi ayam ini menjadi permintaan ramai pelanggan.

“Itulah antara sebab saya buka cawangan Shiha Zikir Nasi Ayam di Shah Alam. Semoga pembukaan cawangan ini membolehkan lebih ramai pelanggan berpeluang  makan di restoran saya.

“Jemputlah semua datang ke restoran saya. Kalau nak pesan bungkus pun boleh. Terima kasih atas sokongan semua selama ini,” ujarnya.

Tahun lalu, dia membuka Restoran Shiha Zikir Nasi Ayam di Wisma Infinitum, Kampung Baru yang menawarkan tiga pilihan menu nasi ayam iaitu Nasi Ayam Barbeku, Nasi Ayam Panggang dan Nasi Ayam Stim selain pelbagai pilihan makanan lain seperti menu Cina Muslim. – WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas