Berita

Mengimbau nostalgia dulu-dulu di Putrajaya Park’s Day 2024

- Diterbit 14 Jun 2024 11:40 AM MYT

DIILHAMKAN daripada World’s Park Day yang disambut di kebanyakan negara maju setiap tahun, Putrajaya Park’s Day kembali diadakan setelah tiga tahun penganjurannya terhenti akibat pandemik COVID-19.

Program yang dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) menerusi Jabatan Landskap dan Taman merupakan usaha bagi menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan yang terdapat di taman-taman awam Putrajaya bagi tujuan riadah dan rekreasi.

Selain itu, ia dapat meningkatkan kehadiran pengunjung sekali gus menjadikan pusat pentadbiran ini sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing melalui produk taman-taman awam dengan mengadakan aktiviti inovatif, unik serta mempunyai daya tarikan.

Bagi mengetahui lanjut berkenaan Putrajaya Park’s Day 2024, ikuti temu bual wartawan Wilayahku, DIANA AMIR dan jurufoto SYUQQREE DAIN bersama Naib Presiden (Jabatan Landskap dan Taman) PPj, LAr. HASLINDA KHALID.

Boleh berikan pengenalan ringkas berkenaan Putrajaya Park’s Day?

Putrajaya merupakan sebuah bandar yang dibangunkan dengan konsep Bandar Dalam Taman di mana selain daripada bangunan-bangunan bercirikan reka bentuk ikonik, terdapat sebanyak 13 buah taman yang memberikan suasana segar dan tenang kepada penghuni dan pengunjungnya. Taman-taman di Putrajaya ini mempunyai karakter dan jiwa yang tersendiri dalam menonjolkan kepelbagaian dan keunikan setiap satunya.

Bertitik tolak dari faktor ini, PPj telah mula menganjurkan Putrajaya Park’s Day bagi memperkenalkan dan mempromosikan taman-taman awam di sekitar Putrajaya dan menjadikannya sebagai pusat tarikan pelancongan domestik serta antarabangsa. Putrajaya Park’s Day kembali bagi kali yang ketiga sejak penganjuran kali pertama pada tahun 2019 di Taman Wetland dan kali kedua pada tahun 2020 di Taman Wawasan. Pada kali ini Taman Warisan Pertanian pula dipilih sebagai lokasi penganjuran acara yang pasti akan menjadi tarikan pengunjung dengan berkonsepkan Agro Tourism.

Untuk makluman, Majlis Perasmian Putrajaya Park’s Day 2024 akan disempurnakan oleh Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail yang akan diadakan pada 22 Jun 2024 (Sabtu), pukul 9 pagi.

Apakah tarikan utama tahun ini?

Tema acara pada tahun ini adalah Mengimbau Nostalgia Dulu-Dulu dan aktiviti serta program yang disusun atur adalah bertepatan dengan tema yang ingin ditonjolkan. Tarikan utama adalah aktiviti yang mengimbau zaman dahulu seperti permainan tradisional (congkak, batu seremban, sepak raga, gasing, sepak bulu ayam dan lain-lain); menangkap belut di sawah bendang; menanam pokok padi; demo menoreh dan memproses getah secara tradisional; aktiviti mengacau dodol; pelbagai bengkel dan demonstrasi; bufet buah-buahan seperti rambutan, mata kucing, duku langsat dan pulasan (RM10/Dewasa, RM5/kanak-kanak tujuh tahun ke atas); pertandingan mengail tradisional menggunakan joran buluh dan pelbagai lagi aktiviti menarik serta gerai jualan.

Selain itu, pada hari kedua terdapat acara larian She Run sejauh lima kilometer di mana acara ini memerlukan peserta berlari dengan memakai pakaian tradisional dan mensasarkan seramai 1,000 peserta akan turut serta. Apa yang lebih menarik pada kali ini, PPj turut berbesar hati untuk memberikan sarapan pagi secara percuma iaitu Nasi Lemak Bungkus & Kopi O kepada 400 pengunjung terawal yang datang ke Taman Warisan Pertanian pada hari pertama dan hari kedua di dua lokasi iaitu di Laman Sawah (200 pax) dan Pelantar Tinjau (200 pax).

Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan seperti demonstrasi pembuatan kuih peneram dan ikan pekasam; pertandingan memasak lauk kampung; pertandingan kukur kelapa dan lambung bola; persembahan tarian tradisional, cosplay, buskers, persembahan wayang kulit dan bermacam-macam lagi.

Berapa bayaran tiket?

Untuk makluman, masuk ke Dusun Warisan Pertanian sememangnya berbayar sebanyak RM5 untuk dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak. Walau bagaimanapun, bersempena dengan penganjuran Putrajaya Park’s Day, pihak PPj tidak mengenakan sebarang bayaran tiket masuk ke dusun namun untuk menaiki perkhidmatan buggy caj yang minimum dikenakan adalah sebanyak RM2 untuk dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas.

Sasaran pengunjung dan kenapa memilih lokasi tersebut?

Kami menyasarkan di antara 5,000 sehingga 10,000 pengunjung yang akan hadir pada Putrajaya Park’s Day sepanjang dua hari penganjuran tersebut. Taman Warisan Pertanian telah dipilih menjadi lokasi pada kali ini kerana ia merupakan satu-satunya taman yang berkonsepkan warisan tradisional Melayu di Putrajaya bertepatan dengan tema pada kali ini. Jika mengikut sejarah penubuhan Putrajaya, kawasan seluas 4,931 hektar ini merupakan tanah estet getah yang dikenali sebagai Prang Besar. Menariknya di lokasi Putrajaya Park’s Day tahun ini iaitu Taman Warisan Pertanian, masih terdapat lagi pokok-pokok getah yang merupakan tanaman asal di kawasan ini sebelum dibangunkan. Jadi para pengunjung boleh lihat sendiri suasana kawasan tersebut dan menyaksikan bagaimana cara-cara untuk menoreh serta memproses getah.

Siapakah rakan strategik?

Kami turut bekerjasama dengan beberapa pihak dan rakan strategik iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dengan lebih 30 gerai jualan, Jualan Agro Madani, membawakan pelbagai produk jualan pertanian dan Industri Kecil & Sederhana serta Pakej Bufet Buah-Buahan. Seterusnya, rakan strategik kedua adalah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) yang membawa 20 gerai jualan berasakan batik dan kraftangan; Red Adventure dan Koperasi Perbadanan Putrajaya Berhad (PutraKop).

Apakah kemudahan yang disediakan?

PPj sentiasa cakna dengan keperluan pengunjung, terutamanya yang datang bersama keluarga, warga emas dan kanak-kanak. Oleh yang demikian, beberapa kemudahan asas akan disediakan untuk keselesaan semua seperti dua unit surau yang mampu memuatkan sehingga 20 orang dalam satu masa; 20 unit di kawasan penanggah dan dusun; lima unit buggy di empat stesen berbeza dan kemudahan parkir di Taman Warisan Pertanian serta di sepanjang bahu jalan masuk ke Taman Warisan Pertanian.

Apakah harapan PPj?

Pihak kami berharap penganjuran kali ini akan memberikan satu kelainan kepada semua pengunjung di mana segala aktiviti yang disediakan dapat mengimbau semula kenangan lama serta nostalgia dulu-dulu. Marilah datang bersama keluarga dan sahabat handai ke Taman Warisan Pertanian bagi memeriahkan Putrajaya Park’s Day 2024 yang akan diadakan pada 22 sehingga 23 Jun ini bertempat di Taman Warisan Pertanian Putrajaya.

Pengunjung juga diingatkan untuk memakai kasut yang selesa dan bersesuaian, bersedia dengan payung, topi besar, cermin mata, kipas tangan dan air mineral serta digalakkan juga memakai pelitup muka sekiranya memerlukan.

Untuk maklumat lanjut dan terkini, orang ramai boleh melayari media sosial rasmi PPj @Putrajaya (Facebook); @perbadananputrajaya (Instagram, TikTok dan YouTube); @putrajayacorp (Twitter) atau hubungi talian 03-8887 7139 / 03-8887 7666 / 03-8887 7774.

Jangan lupa untuk hashtag kami di setiap posting anda iaitu #perbadananputrajaya; #tamanwarisanpertanianputrajaya; #indahnyaputrajaya; #mengimbauzamanduludulu dan tag kami @perbadananputrajaya di mana-mana platform media sosial. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas