Fokus

Usah tunggu nasi jadi bubur

ALAT bantu pendengaran berfungsi untuk menguatkan bunyi–bunyi persekitaran dan pertuturan bagi membantu komunikasi.
- Diterbit 14 Jun 2024 11:20 AM MYT

Oleh DIANA AMIR & SABRINA SABRE

IBU bapa mungkin tidak sedar mendedahkan kanak-kanak kepada penggunaan headphone lebih daripada 80 minit sehari membuatkan mereka 4.7 kali lebih berisiko mengalami kehilangan pendengaran berbanding mereka yang menggunakannya selama kurang daripada 80 minit.

Berkongsi pengalaman, seorang ibu, Noli Hayati, 45, berkata anak lelakinya, Azam Mikael, 12, mula memakai alat pendengaran akibat hilang pendengaran sejak berusia lapan tahun kerana gemar memakai headphone pada waktu malam untuk menonton kartun dan bermain permainan video.

“Jadi sebagai ibu bapa pantau dan kawallah anak-anak agar mereka tidak berisiko berhadapan dengan masalah pendengaran seperti yang dihadapi oleh anak saya.

“Dahulu ketika di meja makan, saya memerlukan anak untuk duduk diam supaya tidak mengganggu orang lain di situ dengan memberikan dia gajet. Perkara sebegini bukan disebabkan kurang kesedaran, tetapi keadaan dan situasi mendesak yang dihadapi ibu bapa dan seterusnya mengambil jalan singkat untuk menyelesaikannya.

“Bila beri gajet kepada anak, keadaan jadi selesa, lama-kelamaan jadi satu kebiasaan, terutama ketika makan atau majlis keramaian,” katanya.

Sementara itu, Mohd Faizal Md So’od, 50, berkata penggunaan peranti elektronik tersebut sedikit sebanyak menjejaskan fizikal anak-anaknya.

“Kami keluarga sukan, di mana saya lihat dengan trend terkini di mana anak muda memakai headphone melebihi masa yang sepatutnya membuatkan anak-anak saya jadi lemah dari segi fizikal dan membuatkan mereka terus leka dan sentiasa melekat dengan peranti elektronik.

“Mungkin ada baiknya memakai headphone ketika melakukan latihan atau senaman namun sebagai atlet mereka perlu fokus lebih tinggi terhadap setiap sesi latihan di mana membuatkan saya melarang penggunaan headphone atau earphone buat anak-anak,”
ujarnya.

Bapa kepada enam orang anak itu berkata sebagai ibu bapa, dia sedar bahawa penggunaan headphone mempunyai kesan buruk tersendiri seperti menjejaskan tahap pendengaran sekiranya ia digunakan secara berlebihan.

“Justeru itu, kita sebagai ibu bapa perlu mengawal penggunaan peranti tersebut kerana ia telah pun menjadi satu trend yang dinormalisasikan kesan daripada penggunaan teknologi dan digital yang diperlukan akibat tuntutan kehidupan.

“Sebagai ibu bapa adalah penting untuk memahami dan mengawal penggunaan teknologi ini untuk memastikan ia tidak membawa kesan negatif jangka panjang kepada kesihatan dan tingkah laku remaja,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas