Berita

Rasionalisasi subsidi diesel langkah tepat selamatkan negara – Azman Abidin

- Diterbit 13 Jun 2024 10:10 AM MYT

MAJLIS Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan (MPN WP) menyambut baik langkah kerajaan dalam melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel.

Pengerusinya, Datuk Azman Abidin berkata beliau percaya bahawa inisiatif tersebut adalah langkah tepat dalam usaha menyelamatkan negara daripada isu ketirisan wang rakyat.

“Pelaksanaan ini akan dapat membendung isu penyeludupan diesel ke luar negara yang selama ini hanya membazirkan peruntukan subsidi kerajaan kerana melalui aktiviti haram penyeludupan diesel.

“Sebahagian besar jumlah subsidi ini secara pukal diterima oleh pihak yang tidak sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Tambah Azman, golongan rentan sama sekali tidak terkesan dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi kerana mereka layak menerima pembahagian semula subsidi dalam bentuk tunai yang mampu memberikan penjimatan semula kepada pengguna bahan api itu.

“Bantuan ini akan disalurkan kembali kepada pengguna diesel yang layak khususnya golongan individu berpendapatan rendah, petani dan pekebun kecil melalui Program BUDI MADANI bagi memastikan kebajikan rakyat kebanyakan kekal terpelihara,” jelasnya.

Azman menegaskan, tiada istilah penarikan semula subsidi kerana melalui platform BUDI MADANI wadah itu dapat memastikan bantuan subsidi kepada golongan sasar dapat dilaksanakan dengan lebih efektif kepada rakyat yang memenuhi kriteria ditetapkan.

“Mereka yang berkelayakan diseru untuk melakukan permohonan melalui laman web rasmi di https://budimadani.gov.my/.

“Keadilan WIlayah Persekutuan yakin bahawa langkah ini merupakan satu tekad politik yang berani oleh Kerajaan Perpaduan dan bakal membawa manfaat yang besar kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas