PERBADANAN Putrajaya (PPj) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) yang memfokuskan kepada pembangunan tenaga elektrik, tenaga boleh baharu serta perkara-perkara berkaitan pembangunan bandar pintar dan bandar rendah karbon di Putrajaya.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, kerjasama itu merangkumi pembangunan, penyelenggaraan, penyelidikan dan latihan berkaitan tenaga boleh baharu termasuk pembangunan solar bumbung, kenderaan elektrik dan infrastruktur, tenaga berkaitan infrastruktur awam serta menjadikan Putrajaya sebagai lokasi makmal hidup (Putrajaya as the Living Lab) untuk teknologi berkaitan tenaga.
“Selain itu, PPj dan TNB turut bekerjasama di dalam perkongsian, analisa, perancangan dan auditan data berkaitan dengan penggunaan tenaga dan tenaga boleh baharu.
“Kerjasama ini menyokong usaha kerajaan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NTER) serta beberapa pelaksanaan di Putrajaya termasuk Pelan Tindakan Bandar Pintar Putrajaya (2018-2025) dan Pelan Hala Tuju Putrajaya Bandar Rendah Karbon menjelang 2030,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU dan SARE.
Turut hadir Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Seterusnya, Zaliha berkata kerjasama ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan impak Roadmap Putrajaya Bandar Rendah Karbon tetapi juga untuk mengembangkan inovasi serta penglibatan daripada pihak industri yang terlibat dalam pembangunan tenaga boleh baharu.
“Kerjasama itu mampu membawa penjimatan berjumlah RM2.5 juta kepada PPj bagi tempoh 20 tahun.
“Warga Putrajaya juga akan mendapat manfaat dari segi penjimatan bil elektrik melalui pembangunan tenaga solar melibatkan premis perumahan persendirian,” ujar beliau MoU tersebut turut menyaksikan beberapa usaha ke arah tenaga hijau antaranya pemasangan 28,000 tiang lampu diod pemancar cahaya (LED) di sekitar Putrajaya dan 500 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang 2030.
Dalam masa sama, Zaliha berkata MoU berkenaan adalah selari ke arah menjayakan visi C.H.A.S.E City (Clean, Healthy, Advanced, Safe, Eco-friendly City) yang digagaskan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin A. Rahman berkata pihaknya teruja kerana dapat berganding bahu dengan PPj dalam merealisasikan visi mencipta bandar pintar dan bandar rendah karbon di Putrajaya.
“Kami komited untuk menawarkan penyelesaian inovatif ini yang sejajar dengan pelan mengurangkan pelepasan karbon dalam aspirasi kami untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.
“la seiring dengan sokongan terhadap inisiatif kerajaan dalam melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi menjana tenaga lebih bersih dalam usaha mengukuh komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” ujarnya TNB juga menawarkan program-program berkaitan kecekapan tenaga bagi membantu kesemua kementerian dan jabatan di Putrajaya ke arah penggunaan tenaga yang lebih cekap di bangunan-bangunan mereka.
Sebagai permulaan Program SARE, TNB melalui anak syarikatnya GSPARX akan memasang sistem solar berkapasiti 363 kilowatt (kWp) di Kompleks PPj dan lapan lagi bangunan utama antaranya Taman Ekuestrian Putrajaya dan Kelab Tasik Putrajaya yang dijangka siap awal tahun depan.
Di samping itu, GSPARX turut menawarkan tawaran promosi khas solar untuk 200 kediaman (residential solar) kepada warga Putrajaya yang ingin menggunakan tenaga hijau di samping menikmati penjimatan bil elektrik.
Promosi akan berlangsung selama dua bulan bermula 1 Jun hingga 31 Julai ini melalui tiga kaedah permohonan iaitu secara fizikal di Kedai Tenaga Putrajaya, melalui telefon di talian 010-337 6769/011-3646 3837 atau e-mel di retail.[email protected]. – WILAYAHKU