Berita

JWP rai 51 orang pekerja cemerlang, pesara

ZALIHA (tengah) menyampaikan Sijil Perkhidmatan Cemerlang kepada salah seorang pemenang APC
- Diterbit 6 Jun 2024 5:02 PM MYT

SERAMAI 51 orang kakitangan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) diraikan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang JWP dan Agensi Tahun 2023/2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata penghargaan tersebut menjadi wadah menyanjung jasa bakti mereka dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat agar terus unggul dan responsif.

“Di zaman mencabar kini, peranan penjawat awam adalah penting dan pengiktirafan ini adalah untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan pelanggan dapat dilaksanakan dengan cekap serta lebih berkesan.

“Diharapkan anugerah ini juga dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam lain untuk terus berkhidmat dengan cemerlang serta memberi impak yang positif ke arah kecemerlangan jabatan ini secara keseluruhan,” ujar beliau.

Beliau turut berharap agar penjawat awam dapat merealisasikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan dalam mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara selaras budaya kerja HARMONI (Hormat, Adil, Responsif, Mampan, Orientasi Rakyat, Nilai Empati, Integriti) dan konsep MALAYSIA MADANI.

Bertemakan Prestasi Cemerlang Memacu Wilayah Persekutuan Sejahtera, majlis tersebut turut meraikan tiga orang pesara sekali gus menghargai segala perkhidmatan yang telah diberikan sepanjang bertugas.

“Segala kebijaksanaan dan pengalaman yang telah dikongsikan amat berharga kepada generasi baru dalam penjawat awam. Secara peribadi saya mengharapkan bakal pesara ini akan terus menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya ketika berucap pada majlis yang berlangsung di Bangi Resort Hotel.

Terdahulu, penerima APC membawa pulang Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan hadiah prestasi wang tunai bernilai RM 1,000 manakala pesara menerima sijil penghargaan serta wang tunai berjumlah RM600 dan cenderamata sumbangan Kelab Kebajikan dan Sukan Jabatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas