Berita

DBKL sedia program transformasi belia jalanan

PESERTA menunjukkan bakat melukis seni kartun ketika melawat galeri kartunis selebriti Aza di Jerantut baru-baru ini.
- Diterbit 7 Jun 2024 10:10 AM MYT

SELAIN memastikan infrastruktur dan kemudahan awam sentiasa dipulihara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut melaksanakan beberapa fungsi penting dalam memastikan kesejahteraan keseluruhan warga kota khususnya kumpulan belia jalanan serta berisiko keciciran dalam arus kemajuan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, Zulkifli Muhammad berkata pihaknya telah merintis banyak usaha termasuk Program Transformasi dan Pembangunan Jati Diri yang dikhususkan kepada belia jalanan Chow Kit.

“Objektif program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dalam membentuk semula jati diri dan membuka minda belia untuk menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Selain itu, program ini dapat menghindari kumpulan belia ini dari terjerumus ke dalam aktiviti tidak sihat dan ia dapat membantu mereka merancang masa hadapan yang lebih berjaya,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Menurut Zulkifli, seramai 40 orang belia terdiri daripada Komuniti Chow Kit telah mengikuti program ini yang dijalankan selama tiga hari dua malam di beberapa kawasan di Jerantut, Pahang.

“Antara kriteria peserta adalah belia yang berusia 17 hingga 40 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap namun mempunyai motivasi untuk menjana pendapatan diri,” katanya.

Zulkifli berkata antara aktiviti yang diadakan adalah seperti lawatan ke salah satu hab agropelancongan di Ladang Anggur Kampung Temin dan Projek Ikan Sangkar Patin dan Talapia di Jerantut, Pahang.

“Peserta juga di bawa melawat ke Aza Gallery untuk didedahkan dengan aktiviti seni lukis genre kartun melalui tunjuk ajar khas dari pengasas galeri tersebut iaitu Abdul Razak Sofhi yang lebih dikenali sebagai nama pena Aza yang juga kartunis selebriti,” katanya.

Tambahnya, DBKL turut menjalankan pelbagai program dengan mensasarkan banyak golongan termasuk golongan belia di Chow Kit.

“Program kali ini mensasarkan belia yang tidak mempunyai pekerjaan dan masih mencari hala tuju kehidupan bagi menghadapi kelangsungan hidup masa kini.

“Selain belia, DBKL turut mensasarkan program dan aktiviti kepada komuniti di Kuala Lumpur. Program yang disusun sepanjang tahun ini merangkumi segenap lapisan umur sama ada di Chow Kit dan Kuala Lumpur keseluruhanya,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata pihaknya turut merancang pelbagai program setiap tahun dalam memastikan setiap golongan di Kuala Lumpur mendapat pembelaan sewajarnya daripada DBKL.

“Ada antaranya adalah anjuran secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Antara program yang sedang dilaksanakan pada tahun 2024 adalah Kelas Pembelajaran Pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain untuk kanak-kanak dan remaja, kelas membaca, menulis dan mengira untuk kanak-kanak dan remaja.

“Selain itu terdapat juga program menjana ekonomi seperti kelas jahitn dan hidroponik untuk golongan dewasa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas