Berita

MBKM ucap terima kasih kepada PM

- Diterbit 1 Jun 2024 1:43 AM MYT

MAJLIS Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan seluruh warga pendidik serta pencinta buku merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan dan komitmen beliau dalam memperkasakan sektor pendidikan negara.

MBKM dalam satu kenyataan berkata, inisiatif pemberian baucar buku bernilai RM100 yang diumumkan Anwar merupakan langkah yang amat bertepatan dalam usaha meningkatkan minat membaca dan kecintaan terhadap ilmu dalam kalangan generasi muda

“Pengumuman ini selari dengan aspirasi MBKM untuk memastikan setiap pelajar mempunyai akses kepada bahan bacaan yang berkualiti dan sesuai dengan tahap pendidikan mereka.

“Pemberian baucar buku ini juga akan membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam menyediakan bahan bacaan tambahan kepada anak-anak mereka sekali gus menyokong pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah pelajar,” ujarnya.

Dalam masa sama, MBKM yakin bahawa langkah ini akan memberi impak yang besar dalam memperkukuhkan budaya membaca dalam kalangan pelajar yang mana merupakan asas penting dalam pembentukan modal insan yang berilmu, berkemahiran, dan berdaya saing sehingga ke peringkat global.

“Baucar buku ini juga diharapkan dapat mendorong pelajar untuk lebih aktif dan kreatif dalam meneroka dunia ilmu pengetahuan di luar bilik darjah,” ujarnya.

Selain itu, MBKM berkata inisiatif itu turut memberikan sokongan kepada industri penerbitan buku tempatan, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

“Dengan adanya permintaan yang meningkat terhadap buku-buku bacaan, penerbit dan penulis tempatan akan lebih giat dalam menghasilkan karya-karya yang berkualiti dan relevan dengan keperluan pendidikan masa kini.

“Kami juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas kesudian merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) buat kali kedua.

“Semoga usaha murni ini akan membawa perubahan positif dan berterusan dalam melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang,” ujarnya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 kepada semua pelajar bermula dari darjah empat hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas