PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku RM100 kepada pelajar tahun empat ke atas, sekolah menengah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Anwar berkata baucar tersebut boleh digunakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 bermula petang esok.
“Kerajaan boleh teruskan dengan (pemberian) baucar RM100 itu dan untuk tahun ini, kita mulakan dari (murid) tahun empat dan ke atas bagi mengurangkan tekanan kepada kewangan kerajaan.
“Kita juga akan menyediakan panduan (jenis) buku. Ini supaya sebahagian daripada baucar itu digunakan untuk membeli buku-buku yang diusulkan dan sebahagian kita bagi kelonggaran untuk anak-anak pilih sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan PBAKL 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. – WILAYAHKU