Oleh HAZIRAH HALIM & DIANA AMIR
PENDIDIKAN tentang keselamatan di Internet harus diperluaskan walaupun penyampaian maklumat di platform tersebut banyak faedahnya namun ia sarat risiko yang boleh menjejaskan kesejahteraan kanak-kanak.
Pensyarah Komunikasi Liberal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM), Ts Nurul Aishah Ab Raman, 42, berkata sebagai tindakan wajar, ibu bapa boleh mengatur privasi akaun secara ketat dengan memilih untuk tidak memuat naik gambar peribadi atau menggambarkan lokasi anak-anak.
“Amat penting bagi ibu bapa untuk menyedari risiko yang berkaitan dengan memuat naik gambar anak-anak di media sosial.
“Justeru, sebagai ibu bapa perlu cakna dan proaktif dengan persekitaran ini. Bagi saya, letakkan parental controls sebagai contoh di peranti anak-anak, pastikan tahu password mereka selain celik digital juga perlu dipupuk dalam kalangan ibu bapa,” katanya.
Katanya, dalam soal keselamatan terutama ketika berada di luar rumah, ibu bapa perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat-tempat strategik selain meletakkan penjejak (tracker) dan sentiasa berkongsi lokasi langsung dengan anak-anak.
“Pendidikan seksual pada usia muda adalah penting untuk meningkatkan pemahaman anak-anak terhadap kegiatan tidak berfaedah ini selain memupuk rasa hormat kepada diri sendiri.
“Ia juga secara tidak langsung membekalkan mereka pengetahuan untuk mengenal pasti tingkah laku yang tidak sesuai dan bagaimana cara melaporkan kepada orang dewasa yang dipercayai.
“Kebanyakan kes seksual tidak dilaporkan kerana rasa takut dan bimbang selain malu dan sebagainya. Walaupun gangguan seksual majoritinya berlaku terhadap golongan wanita namun ia boleh berlaku kepada dua-dua jantina, jadi pendedahan harus diberikan kedua-duanya,” katanya.
Tegas Nurul Aishah, perkara ini dapat dibendung sewajarnya jika mendapat kerjasama daripada seluruh pihak khususnya ibu bapa dan bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. – WILAYAHKU