Artikel

Inisiatif bantu peniaga

- Diterbit 31 Mei 2024 10:30 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara aktif berterusan bertindak terhadap premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen.

Pertumbuhan gerai yang tidak menurut peraturan ini mencemarkan persekitaran kerana gerai dibina sesuka hati dalam pelbagai bentuk, saiz serta mengganggu kelancaran pergerakan orang ramai atau kenderaan di kawasan berkenaan.

Kerana itu tindakan tegas diambil termasuk merobohkan gerai niaga terlibat. Antaranya di Bazaria Wangsa Maju, Kampung Baru, Jalan Petaling dan lain-lain. Ramai yang menyambut baik langkah DBKL ini.

Para peniaga terlibat tidak harus menyalahkan DBKL kerana ia hanya melaksanakan tanggungjawab seperti diperuntukkan undang-undang. Perniagaan mesti sah dan berlesen.

Pada hemat kawan-kawan Kedai Kopi ramai minat berniaga tetapi tidak melalui saluran yang betul. Mereka mendakwa sudah beberapa kali memohon lesen namun tidak mendapat jawapan dan mendorong mereka berniaga secara tidak sah.

Barangkali dalam isu ini DBKL boleh memberi penjelasan tentu ada sebab tertentu jika permohonan lesen mengambil masa, misalnya daripada segi kesesuaian lokasi serta menapis latar belakang pemohon.

Pada pandangan kawan-kawan Kedai Kopi, mereka yang minat berniaga seharusnya diberi peluang dengan syarat ia dijalankan menurut peraturan. Antara langkah diambil ialah ‘memutihkan’ mereka agar boleh beroperasi secara halal.

Ini bertepatan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa bahawa DBKL akan melakukan pemutihan terhadap 165 penjaja tanpa lesen di Bazaria Wangsa Maju menurut syarat ditetapkan di bawah Inisiatif Lestari Niaga.

Program Lestari Niaga membolehkan semua penjaja tidak berlesen ditawar lesen untuk berniaga di mana-mana lokasi berdekatan. Usah terlalu berkira dengan lokasi. Yang penting diberi peluang untuk terus berniaga. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas