DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama rakan agensi penguatkuasaan mengeluarkan sebanyak 68 notis kompaun atas pelbagai kesalahan dalam satu Operasi Bersepadu Bersih (Ops Bersih) Siri 2 Tahun 2024 di Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat, Taman Connaught, Kuala Lumpur, semalam.
Antara yang terlibat dalam Ops Bersih ialah, DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Perancangan Infrastruktur dan Jabatan Integriti dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
DBKL berkata, Ops Bersih melibatkan kenderaan persendirian atau kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan am trafik, pemeriksaan tahap kebersihan kenderaan, pencemaran asap dan permit laluan kebenaran mengangkut bahan (batu, tanah, kayu, simen, batu-bata, kaca, jubin dan lain-lain) yang melalui mana-mana jalan awam sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.
Menurutnya, ia juga termasuk pemeriksaan ke atas pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan seperti cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu dan lain-lain kesalahan am mengikut bidang kuasa di bawah agensi masing-masing.
“Dalam Ops Bersih kali ini, sebanyak 98 buah kenderaan telah dibuat pemeriksaan. DBKL telah mengeluarkan sejumlah 21 notis kompaun ke atas pelbagai kesalahan dibawah Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
“Manakala pihak PDRM mengeluarkan 21 notis kompauan, pihak JPJ pula 23 notis kompaun dan SWCorp turut mengeluarkan tiga notis kompaun di atas pelbagai kesalahan kepada individu atau pemilik kenderaan yang telah melakukan kesalahan lalu lintas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambahnya lagi, tindakan khas ini dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan DBKL serta rakan agensi berkenaan.
“Ops Bersih ini akan diteruskan di lokasi tumpuan (hotspot) lain selepas ini,” ujarnya. – WILAYAHKU