PESTA buku terbesar di Malaysia kini kembali lagi untuk kali yang ke-41 dengan menawarkan pelbagai genre di bawah satu bumbung.
Merupakan acara utama tahunan dalam kalendar penerbitan tempatan yang utama dan terbesar, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 bakal membawa lebih banyak kejutan dan aktiviti yang lebih menarik bermula dari 24 Mei hingga 2 Jun bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Sejak diadakan pada tahun 1981, PBAKL memberi kesan besar kepada pembaca dan industri buku tempatan dan telah merekodkan lebih daripada 1.5 juta pelawat secara purata dari tahun 2008 hingga kini.
Ia juga membantu mempromosikan penulis dan penerbit tempatan dengan memberikan platform kepada penerbit antarabangsa untuk mempamer dan memperdagangkan buku-buku mereka.
PBAKL turut menyumbang kepada pertumbuhan industri buku di Malaysia antaranya adalah jumlah kedai buku dan penerbit tempatan yang mula meningkat selepas pasca COVID-19.
Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron berkata pada pameran kali ini terdapat sebanyak 972 pempamer termasuk 14 dari luar negara antaranya Singapura, Thailand, Filipina, India, China, Taiwan dan Iran.
“Ini adalah bukti bahawa syarikat penerbit dan agensi terbitan kerajaan sedang terus berdaya maju dalam ekonomi perbukuan.
“Keterujaan pada penganjuran kali ini adalah acara ASIAN Rights Fair yang mempamerkan karya-karya sastera penulis dari Asia Tenggara melibatkan Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam, India, China, Taiwan dan Iran.
“Selain itu, Negeri Tamu Edisi 2024 adalah Negeri Sabah di mana acara ini akan menjadi medium untuk memperkenalkan dan mempromosikan sastera serta budaya Sabah.
“Kita juga ada Program VIP BUYER, pemimpin pustakawan muda dan banyak lagi,” katanya.
Mohd Khair berkata tahun ini pihaknya menjangkakan lebih 1.5 juta pengunjung datang ke pesta yang diadakan selama 10 hari.
Tahun lalu sasaran adalah seramai 1.3 juta pengunjung namun jumlah yang hadir adalah seramai 1.6 juta orang.
“Ini juga adalah kali ketiga pesta ini akan diadakan secara dalam talian bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat hadir.
“Pesta Buku Dalam Talian menjadi titik tolak perubahan model perniagaan perbukuan negara ketika COVID-19 melanda. Ia merupakan langkah drastik dan berani diambil oleh pengelola.
“Apabila Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan COVID-19, PBAKL yang hanya tinggal lapan hari sebelum bermula telah beralih kepada perniagaan yang baharu ini. Jumlah penerbit yang menyertai platform e-dagang Shopee pula bertambah saban tahun sehingga edisi kali ke-4 ini dengan cara hIbrid semenjak 2022,” ujarnya.
TRANSFORMASI DIGITAL
BUAT julung kalinya dalam sejarah PBAKL, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) merealisasikan inisiatif pendigitalan dengan memperkenalkan penggunaan digital platform aplikasi mudah alih (mobile app) untuk memberi manfaat dan penambahbaikan khusus kepada pemegang taruh PBAKL 2024 dan pengunjung.
Mohd Khair berkata aplikasi acara PBAKL (eventapp PBAKL) atau secara ringkasnya PBAKL App dapat memacu penggunaan teknologi di dalam ekosistem industri perbukuan dan sebagai langkah inisiatif transformasi digital oleh MBKM.
“Aplikasi ini membawa impak yang besar di dalam memberi kelainan pengalaman kepada semua pemegang taruh untuk acara pameran PBAKL di tahun 2024 dan seterusnya,” katanya ia dijalankan dengan Rakan Strategik Digital MBKM, Wyn Wyn Event Sdn Bhd.
Mohd Khair berkata teknologi PBAKL App ini mengadaptasi teknologi digital yang terbaru di mana gabungan ‘Scalability big data processing’ dan ‘Artificial Intelligence’ (AI) untuk mempercepatkan proses menyiapkan pembangunan aplikasi ini dalam masa kurang sebulan.
“Semua informasi diambil secara terperinci di back-end sistem PBAKL App dan membuat pemetaan dan interkorelasi (intercorrelation) data secara bijak dan pantas untuk menghasilkan ‘user interface’ atau UI yang mesra pengguna, berinformatif dan interaktif.
“Aplikasi ini adalah medium yang berteraskan teknologi digital dalam memenuhi pencarian keperluan atau minat pegunjung kepada acara, buku atau produk pempamer-pempamer di PBAKL 2024 yang dapat menepati dan memenuhi pencarian tersebut seterusnya membuahkan hasil untuk kedua-dua pihak,” jelasnya.
PBAKL App boleh dimuat turun di Play Store atau App Store. – WILAYAHKU