DAKWAAN beberapa pihak dan penduduk berhubung status rizab Kolam Takungan Banjir (KTB) Kampung Bohol bakal dibangunkan dengan projek perumahan adalah tidak benar, tegas Timbalan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Mohd Firdaus Ibaruslan.
Beliau berkata, sebaliknya KTB itu akan dinaik taraf dan direka bentuk semula bagi mewujudkan kolam takungan banjir yang boleh berperanan untuk mengatasi masalah banjir kilat dan air melimpah ke kawasan sekitar termasuk di Lebuhraya Shah Alam (KESAS).
“Ia adalah bagi mengelakkan kejadian banjir berulang seperti mana yang telah berlaku pada Disember 2021 dan Mac 2022.
“Kolam ini terletak di antara Laluan Sungai Buloh yang menghala ke kawasan Kinrara, Puchong dan sekitar.
“Dengan kapasiti yang sedia ada dan agak kecil serta ditambah dengan keadaan tapak yang landai, sebahagian besar tapak didapati adalah berbukit dan lebih tinggi daripada paras lebuhraya tersebut.
“Jadi, apabila laluan air Sungai Buloh melalui kawasan itu, ia akan menyebabkan air banjir melalui ke tempat yang lebih rendah iaitu Lebuhraya KESAS. Jadi, disebabkan itulah proses naik taraf ini harus disegerakan supaya boleh mengelakkan risiko banjir berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan berhubung situasi Kolam Takungan Banjir (KTB) Kampung Bohol di Mayor’s Courtyard, Kuala Lumpur.
Tambahnya KTB sedia ada hanya mampu menampung sebanyak 150,000 meter padu air namun keluasannya akan bertambah kepada 63.45 hektar dengan kapasiti 1.13 juta meter padu air berkedalaman enam meter selepas kerja naik taraf kolam itu dilaksanakan.
“Kita telah membawa perkara ini kepada mesyuarat jawatankuasa kerja tanah dan memutuskan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi spesifikasi KTB untuk dibangunkan.
“Namun, pada 8 Mei 2023, JPS telah meminta kita untuk memperhalusi semula purata selang ulangan (ARI) 100 tahun ke 200 ARI berikutan taburan hujan dan iklim tidak menentu pada masa kini,” ujar beliau.
Jelasnya lagi, pembinaan KTB ini dijangka akan melibatkan kos hampir RM40 juta bagi pembinaan kolam.
“Ia juga melibatkan pelupusan enam plot tanah kerajaan seluas 26.8 ekar untuk kediaman bercampur premium RM41.7 juta dibayar oleh petender.
“Daripada enam plot, tiga plot dibuat kediaman mampu milik dan kediaman Madani untuk masyarakat di sekitar Kuala Lumpur dan ia ditetapkan untuk kediaman dan bukan untuk tujuan komersial,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha Mustafa berkata projek naik taraf KTB itu dijangka mampu memberi impak kepada penduduk sekitar terutama berkait masalah banjir serta memberi peluang golongan B40 dan M40 memiliki kediaman sendiri.
“Kerja-kerja pembinaan ini dijangka siap pada Disember tahun ini. Ia akan dilaksanakan oleh petender daripada lima petender yang menghantar permohanan melalui JPS.
“Walau bagaimanapun, pemaju yang dipilih hendaklah mempunyai peruntukan RM40 juta untuk kerja naik taraf yang dijangka mengambil masa lima bulan,” katanya.
Beliau juga memaklumkan akan bertemu penduduk sekitar kawasan berkenaan pada 20 Mei (Isnin) ini bagi menerangkan lebih lanjut perancangan yang sebenar dengan lebih jelas dan tepat. – WILAYAHKU