SEBAGAI sebuah institusi pengajian tinggi yang dimiliki penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) boleh dikatakan pelopor kepada program kejururawatan milik swasta pertama di Malaysia.
Menerusi rekod yang dipegang, UCMI telah menghantar seramai 35 graduan muda Diploma Kejururawatan menjadikan institusi itu setanding institusi perubatan antarabangsa lain. Malah program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan UCMI turut diperakui di serata dunia dan program tersebut telah dilesenkan dan bakal digunakan di Indonesia dan China.
Dalam temubual bersama Wartawan Kanan Wilayahku, AZLAN ZAMBRY, Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif UCMI, PROFESOR DR WAN MOHD AZIZI WAN SULAIMAN menzahirkan harapan bahawa UCMI mampu mengubah nasib anak-anak asnaf sekali gus mendidik mereka untuk menyumbang semula kepada ummah.
Boleh ceritakan tentang sejarah UCMI?
UCMI asalnya adalah satu unit kejururawatan di bawah Hospital Pusrawi di mana pada ketika itu memikirkan MAIWP perlu ada satu unit atau latihan untuk melahirkan jururawat. Perbincangan untuk menubuhkan kolej dan sudah ada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) maka Kolej Antarabangsa Pusrawi Sdn Bhd atau PICOMS berjaya ditubuhkan yang menawarkan pengajian dalam bidang Fisiologi, Terapi Cara Kerja, Farmaseutikal, Pembantu Perubatan dan Kejururawatan.
Kini sudah diperingkat akhir untuk mendapatkan penarafan sebagai universiti penuh dan telah melalui beberapa sesi temuduga. Dokumen berkaitan telah dihantar untuk dinilai pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan MQA selain sedang menunggu penuh untuk dijenamakan sebagai Universiti MAIWP International (UMI).
UCMI merupakan universiti wakaf, adakah operasinya mengambil model Universiti Al-Azhar?
Apabila bakal menjadi universiti penuh ini, pihak MAIWP meletakkan peruntukan yang besar di dalam bidang pendidikan iaitu lebih RM300 juta menerusi kutipan zakat dan disalurkan ke dalam pendidikan.
Sebagai universiti, kami bertuah kerana sumber daripada zakat digunakan pelajar-pelajar kami. Ketika ini kami mempunyai 4,000 pelajar dan sejumlah 80 peratus menerima bantuan atau biasisiwa daripada MAIWP dalam bentuk elaun sara diri tunai. Asrama dan pengangkutan adalah percuma. Malah ada sebahagian pelajar ini turut mendapat biasiswa dengan MAIWP sendiri membayarkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Untuk menjadi universiti wakaf ini, kami mengambil model daripada Universiti Al-Azhar di Mesir dan Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi dan itulah hasrat kita.
Kita turut berhasrat melaksanakan perkara itu dan kini mempunyai pelajar peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dan ada pengkhususan di dalam bidang Sains Kesihatan dan UCMI adalah universiti wakaf yang berteraskan Sains dan Sains Kesihatan.
Setakat hari ini, berapakah penuntut di dalam bidang kejururawatan di UCMI?
Kita mempunyai 300 pelajar di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda pula 60 pelajar. Kami telah membuat Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 10 buah universiti China untuk melesenkan program kejururawatan UCMI di China.
Graduan di 10 universiti terbabit akan dianugerah sijil dan diploma yang dilesenkan UCMI. Saya telah bertemu dengan beberapa pihak di Indonesia dan program ini turut akan dilesenkan di negara tersebut kerana mereka menghadapi lambakan 200,000 jururawat.
Malah graduan kami mendapat permintaan di banyak negara. Contohnya kita baru hantar seramai 35 orang graduan diploma bekerja di Jerman dan kini memperolehi pendapatan yang lumayan melebihi RM15,000 sebulan.
Ada juga yang bekerja di Jepun. Saya masih ada dua perjanjian yang akan ditandatangani dengan hospital di Singapura dan Australia.
Adakah graduan UCMI menyumbang semula ke dalam sistem wakaf yang dibangunkan?
UCMI juga menubuhkan unit khusus yang menyelaras dan menyelia urusan berkaitan wakaf yang dinamakan sebagai TAWFEQ atau singkatan kepada Tabung Amanah Wakaf, Endowment dan Infaq yang menyelaras semua aktiviti pengumpulan dana termasuk sumber zakat, wakaf, infaq, wakalah juga dari sumber am yang telah bermula dua tahun lalu dan berjaya mengumpul RM2 juta.
Kita menggalakan mana-mana pihak khususnya alumni, pelajar dan ibu bapa serta kakitangan UCMI untuk menyumbang di dalam TAWFEQ dan kita berjaya mengumpul RM100,000 hingga RM200,000
Adakah pihak UCMI turut memperluaskan peluang kepada pelajar bukan Islam?
UCMI sentiasa membuka pintu kepada seluruh pelajar dari pelbagai bangsa dan agama untuk sama-sama belajar dan memanfaatkan peluang dan kemudahan institusi kami.
Apa rancangan UCMI itu dalam menyediakan pengajian yang kondusif untuk pelajar?
Dalam blueprint strategik MAIWP, 2022 – 2025 jelas bahawa UCMI akan menjadi univeriti penuh dan ada rancangan untuk mempunyai kampus tetap malah MAIWP mempunyai beberapa tanah yang strategik yang boleh dibangunkan.
Ketika ini kampus UCMI berada di beberapa lokasi iaitu Kampus Utama di Batu Muda, ada dua blok yang boleh menempatkan 3,000 pelajar. Kita juga ada Kampus Bandar, di Jalan Tangsi yang boleh menempatkan 2,000 pelajar dan Kamppus Klinikal di Jalan Ipoh, itu berhampiran dengan bangunan Perkim yang lama.
Selain itu kolej kediaman juga ada di Kampung Bharu dan di Batu Muda.
Bagaimana untuk menarik lebih ramai anak-anak asnaf melanjutkan pengajian di UCMI?
Kita perlu beri kesedaran untuk mereka sambung belajar dan peringkat jangka panjang kena ada karier yang boleh membangunkan kualiti hidup menerusi Diploma, Ijazah mahupun T-VET untuk bekerja.
Cabaran tidak minat belajar dan kurang kesedaran ini yang perlu ditangani bersama.
Kita juga hendak mencari anak-anak asnaf lain dari seluruh negara untuk memberikan skim bantuan MAIWP yang berminat menyambung pengajian. Kita juga hendak uar-uarkan bahawa anak-anak asnaf boleh belajar di UCMI tanpa beban kewangan. Pelajar hanya perlu datang dan membayar wang pendaftaran sebanyak RM200 dan lain-lain kos ditanggung sepenuhnya oleh MAIWP.
Selain itu, kita juga mempunyai 200 pelajar daripada Labuan yang dibawa ke kampus ini dan kesemuanya ditanggung sepenuhnya termasuk tiket penerbangan pergi dan balik. Malah kumpulan pelajar ini juga dijadikan pemudah cara bagi pihak UCMI untuk meyakinkan ibu bapa di Labuan supaya menghantar anak mereka menyambung pengajian di sini.
Berapa ramai pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di UCMI ketika ini?
Kita sudah ada 120 pelajar antrabangsa daripada Palestine yang kini mengikuti peringkat Sarjana dan PhD di dalam kejururawatan. Selain itu Bangladesh, Kemboja dan Mindanao.
Kita juga baru sahaja memulakan pengajian pasca siswazah pada tahun 2021 dan dalam tempoh tiga tahun ini sekarang ini sudah ada 60 pelajar.
Untuk menjadi universiti penuh, setiap universiti memerlukan program penyelidikan termasuk di UCMI yang melakukan penyelidikan di peringkat Sarjana dan PhD. Untuk pengetahun juga, pada tahun lalu, dua pensyarah kami telah memenangi geran penyelidikan daripada KPT bernilai RM300,000.
Dari segi kualiti pensyarah UCMI, berapa ramaikah yang mempunyai PhD?
Mengikut ratio, dalam bilangan pensyarah, sekurang-kurang 30 peratus mestilah mempunyai PhD. Untuk UCMI, kita mempunyai lapan orang Profesor, PhD 25 orang dan kualiti sangat tinggi kerana UCMI amat strict mengenai kualiti termasuk mempunyai enam pensyarah yang berasal dari Iraq, Yaman, Bangladesh dan Myanmar di dalam bidang farmasi.
Selain itu, kita juga mempunyai Profesor Khair (Khidmat, Amal, Ilmuan dan Rahmat) atau Profesor Kehormat seramai lima orang yang mempunyai kepakaran di dalam bidang Farmasi, Kejururawatan, Perhotelan. – WILAYAHKU