Lensa

DSA 2024 satukan pemain industri pertahanan

- Diterbit 17 Mei 2024 11:50 AM MYT

Oleh SYUQQREE DAIN, Video: HASIF HALIMI

PAMERAN Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 dan Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2024 menjadi pentas mempamerkan teknologi serta aset peperangan tercanggih di dunia dalam sektor pertahanan darat, udara dan laut.

Memasuki edisi ke-18, acara dwitahunan yang mula dianjurkan pada tahun 1988 itu melibatkan 1,324 syarikat pempamer yang terdiri daripada 1,161 pempamer antarabangsa dan 163 pempamer tempatan selain membabitkan 60 buah negara antaranya Turkiye, China, UAE, Itali dan Amerika Syarikat.

Bertemakan Membina Ketahanan Negara Untuk Generasi Masa Hadapan, ia merupakan platform untuk membina jaringan serta menyatukan semua pemain industri pertahanan dari seluruh pelosok dunia selain memupuk diplomasi pertahanan antara negara serantau.

Sepanjang acara tersebut, Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) berjaya menandatangani 40 dokumen bernilai RM7.3 bilion dan antara pameran yang mencuri tumpuan pengunjung ialah replika dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) buatan Iran, Shahed-149, dikenali dengan nama GAZA sebagai menghargai perjuangan penduduk Gaza terhadap rejim Zionis.

Pameran terbesar di Asia yang berlangsung pada 6 hingga 9 Mei lalu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu merupakan anjuran bersama MINDEF dan Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ia turut menjadi lokasi pertemuan utama bagi pengeluar, pembekal, agensi dan organisasi bertukar pendapat, membina kesefahaman serta kerjasama ini turut disertai oleh syarikat-syarikat gergasi tempatan iaitu Advance Defense Systems, DRB Hicom Defence Technologies (DEFTECH), Nadicorp, MILDEF International Technologies, Mindmatics Sdn Bhd, Sapura Secured Technologies dan Weststar Group. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas