AIR Selangor memaklumkan sebanyak tujuh wilayah di kawasan Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air berjadual pada 5 hingga 7 Jun depan.
Air Selangor berkata gangguan tersebut susulan pelaksaanan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).
“Para pengguna dijangka akan menerima bekalan air secara berperingkat-peringkat bermula pada pukul 3 pagi, 6 Jun setelah kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap, dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.
“Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka akan mencapai sekitar 20% pada pukul 3 petang, 6 Jun diikuti dengan 90% pada pukul 3 pagi, 7 Jun. Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada pukul 12 tengah hari, 7 Jun,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, untuk makluman, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
Jelasnya lagi, Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
“Justeru itu, Air Selangor ingin menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” ujarnya.
Tambahnya, bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor di wilayah yang terjejas.
“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estet (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang), serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat).
“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dari saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/,” katanya. – WILAYAHKU.